Miri: 2 cedera dalam kejadian berbalas tembak

MIRI, 16 Mei – Dua cedera termasuk seorang anggota polis berpangkat koperal dalam kejadian berbalas tembakan di Taman Jelita petang ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, Kpl William Bell Jol, 55, dari Unit Peronda Kereta (MPV) Miri mendapat kecederaan di lengan kiri setelah salah seorang suspek melepaskan tembakan.

“Dua suspek perompak berjaya ditangkap dengan tangkapan suspek pertama seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang cedera pada kedua-dua kaki semasa kejadian tembak-menembak dengan unit MPV,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Leong berkata suspek kedua seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun turut ditahan serta tiada mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, suspek ketiga sedang diburu oleh polis setelah pemeriksaan terperinci dibuat dalam rumah itu mengesahkan suspek berjaya melarikan diri.

Beliau berkata sebelum kejadian, bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri pada pukul 1 petang telah menerima makluman melalui telefon terdapat sebuah kereta mewah berwarna perak dalam kawasan mencurigakan di kawasan Taman Jelita.

“Bilik Gerakan IPD Miri telah mengarahkan MPV untuk melawat tempat kejadian iaitu sebuah rumah banglo di Taman Jelita dan apabila suspek nampak kehadiran MPV terus melepaskan tembakan ke arah kru MPV,” katanya.

Beliau berkata tembakan itu mengenai Kpl William Bell Jol dan kru MPV bertindak balas mempertahankan diri dengan membalas tembakan lalu terus mengenai bahagian kaki salah seorang suspek.

“Kecederaan Kpl William Bell Jol tidak serius, masih sedar dan sedang mendapat rawatan di Hospital Miri,” katanya lagi sambil menambah sepucuk pistol serta sebutir peluru hidup turut dirampas daripada suspek.

Menurutnya, Korporal William Bell Jol yang juga pemandu MPV itu telah berkhidmat selama 33 tahun serta mempunyai lima orang anak. – Bernama