Miri berjerebu akibat kebakaran

MIRI, 14 OGOS – Beberapa kejadian kebakaran yang berlaku di Miri didapati menyebabkan keadaan berjerebu di bandar di bahagian Utara di Sarawak, baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat melaporkan berlaku lima kejadian kebakaran di kawasan Tudan Fasa 4, Tudan Fasa 5, Kuala Baram dan Taman Tunku.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu semalam juga telah dimaklumkan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar negeri (NREB), pengeluaran permit pembakaran terbuka pada masa ini telah dihentikan.

Lembaga itu juga mengadakan pemantauan bersama Jabatan Alam Sekitar selain melakukan pemantauan menggunakan dron sejak Jun bagi mengelakkan berlakunya pembakaran terbuka secara haram di kawasan yang kerap berlaku kebakaran di sini.

“Kesemua agensi telah diminta untuk menguatkuasakan pengawalan dan pemantauan, selain membuka pos pengawalan di kawasan selalu berlakunya kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengesa pemilik tanah untuk memastikan kawasan mereka tidak diceroboh oleh orang yang mahu melakukan pembakaran terbuka untuk menanam sayuran.

“Jabatan Tanah dan Survei Sarawak akan melakukan penguatkuasaan ke atas tanah milik kerajaan, manakala NREB akan mengaktifkan pasukan rondaannya dan dibantu agensi berkaitan,” katanya.

Jabatan Pertanian pula akan memastikan petani tidak melakukan pembakaran terbuka kerana Jabatan Meteorologi menjangkakan kemarau akan berlaku bulan ini sehingga Oktober. – Bernama

Pemandangan Jambatan Pulau Pinang yang kurang jelas dirakam pada jam 10 pagi tadi berikutan keadaan jerebu akibat letusan Sinabung di Indonesia. Di Miri pula, bandar raya itu berjerebu kerana kebakaran hutan akibat pembakaran haram. – Bernam04