Misha uji kemampuan cipta lagu

Hampir dua dekad dalam dunia seni, penyanyi Misha Omar mencabar keupayaan diri dengan menghasilkan melodi dan lirik untuk ‘buah tangan’ terbaharu berjudul Tanpa Rela.

Berkongsi pembikinan single itu, pemilik nama lengkap Samihah @ Aisah Omar berkata, lagu berkenaan memberinya kepuasan kerana ia adalah hasil sentuhan peribadinya bersama komposer terkenal, Lee Sze Wan.

“Saya terfikir mengapa tidak saya memulakan satu langkah ke hadapan dengan menghasilkan melodi selepas 18 tahun dalam industri muzik.

“Biarpun proses penghasilan lagu Tanpa Rela menuntut perjalanan yang panjang, saya bertuah kerana niat dipermudahkan apabila dipertemukan dengan pengarah muzik, Sze Wan ketika menjayakan Konsert Soul Sisters di Istana Budaya, April tahun lalu.

“Dari situ, kami mula rapat hingga tercetus idea menjalin kerjasama dalam penghasilan single ini. Saya bersyukur Sze Wan banyak memberikan tunjuk ajar, malah sentiasa sabar melayani kerenah saya yang masih hijau dari sudut komposisi lagu,” katanya kepada media.

Bagi memastikan karya berkenaan menepati cita rasa peminat, penyanyi lagu Sampai Bila itu mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas vokal secara lebih intensif bersama pensyarah vokal berkaliber, Datuk Syafinaz Selamat demi memastikan mampu memberikan penghayatan dan penyampaian terbaik.

Single Tanpa Rela memberikan banyak pengalaman manis untuk dikenang. Tidak hanya menjadi lagu pertama yang dihasilkan, saya juga teruja kerana dapat bekerjasama dengan Syafinaz di studio rakaman sebagai penasihat dan pengarah vokal.

“Ia memberikan suasana berbeza buat saya. Sebelum ini, saya hanya melangkah ke studio rakaman untuk memasukkan vokal apabila semua proses awal sudah selesai.

“Tetapi untuk single Tanpa Rela, saya terbabit dari awal. Bermula dengan mencari idea menghasilkan melodi, seterusnya berbincang dengan Sze Wan dari segi susunan muzik, saya juga terbabit dalam penulisan lirik.” – Agensi

Misha Omar memulakan langkah sebagai pencipta lagu selepas 18 tahun bergelar penyanyi. – Agensi