Misi angkasa pertama Arab ke Marikh lancar

TOKYO, 20 JULAI – Misi angkasa lepas yang pertama bagi Arab ke planet Marikh, pesawat peninjau tanpa kendalian manusia yang digelar ‘Hope’ berlepas dari Jepun hari ini dalam satu misi bagi mendedahkan lebih banyak maklumat tentang atmosfera di planet merah itu.

Roket Jepun yang membawa pesawat peninjau yang dibangunkan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Tanegashima di selatan Jepun tepat pada waktunya, 6:58 pagi.

Pelancaran pesawat peninjau yang dikenali sebagai ‘Al-Amal’ dalam Bahasa Arab itu sudah dua kali ditangguhkan akibat cuaca buruk, namun hari ini berlepas dengan lancar dan berjaya.

Kira-kira sejam kemudian, siaran langsung menunjukkan aksi orang ramai bersorak di bilik kawalan sebaik pesawat peninjau yang dilancarkan itu berpisah daripada roket.

Di Dubai, acara itu disambut dengan penuh meriah dengan bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa bernyala dengan hitungan simbolik 10 saat.

Gambar yang diambil pada 19 Julai menunjukkan pelancaran pesawat peninjau ‘Hope’ disiarkan di Pusat Angkasa Lepas Mohammed Bin Rashid di Dubai. – AFP

“Kami dengan bangga mengumumkan kejayaan pelancaran pesawat peninjau Hope,” kata pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum dalam Twitter.

“Stesen kawalan lapangan di Dubai telah menerima signal pertama pesawat peninjau selepas panel solarnya berjaya berfungsi bagi mengecas baterinya. Perjalanan 493 juta kilometer ke planet merah kami bermula di sini.”

Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohammed bin Zayed Al-Nahyan berkata negara itu menyaksikan pelancaran tersebut penuh ‘kebanggaan dan kegembiraan’ ketika negara memulakan ‘babak baharu dalam angkasa lepas’.

Hanya AS, India, bekas Kesatuan Soviet, dan Agensi Angkasa Lepas Eropah berjaya menghantar misi ke orbit planet keempat dari matahari itu, sementara China sedia untuk melancarkan rover Marikh pertamanya bulan ini.

Misi Emiriah itu adalah salah satu daripada tiga misi ke Marikh termasuk Tianwen-1 dari China dan Mars 2020 dari Amerika Syarikat (AS), yang dilancarkan ketika bumi dan Marikh berada pada kedudukan paling dekat.

Menjelang Oktober, Marikh akan berada pada jarak lebih dekat iaitu sekitar 62.07 juta kilometer dari bumi, menurut laporan NASA. – AFP