Misi baharu kekal sifar untuk tempoh 28 hari

PUTRAJAYA, 1 JULAI – Misi Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini adalah mengekalkan sifar jangkitan tempatan COVID-19 untuk tempoh 28 hari akan datang, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata hari ini adalah permulaan hebat untuk Malaysia kerana tiada kes jangkitan tempatan dikesan dan satu kes positif yang dicatat membabitkan seorang rakyat Malaysia berusia 21 tahun yang kembali ke tanah air dari Turki.

“Hari ini adalah satu permulaan yang baik kerana kita mempunyai sifar jangkitan tempatan. Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah mengekalkan keadaan sifar jangkitan ini untuk tempoh 28 hari akan datang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata KKM yakin mampu mencapai sifar jangkitan tempatan untuk tempoh 28 hari akan datang berdasarkan sokongan yang dipamerkan orang ramai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dilanjutkan atau ditamatkan lebih awal memandangkan sekolah akan dibuka semula pada 15 Julai.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) bersama warga kementeriannya menunjukkan kertas tertera nombor 1 menandakan hanya satu kes baharu dilaporkan, kelmarin. – Bernama

Beliau berkata hasrat KKM menerusi PKPP ialah membuka semua sektor terutama pendidikan dan memantau rapat jangkitan tempatan, oleh itu kementerian akan terus memantau sekolah dan kes-kes di bawah pengawasan serta akan menutup mana-mana fasiliti jika terdapat sebarang penularan dikesan dan mengambil tindakan lanjut dari segi penyaringan.

Katanya KKM akan meneliti semua avenue dan menambah baik serta meningkatkan kapasiti dari segi pengesanan.

Menyentuh mengenai polis diarah memburu kira-kira 1,400 individu yang enggan membuat saringan kedua COVID-19 selepas menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah, Dr Noor Hisham berkata KKM sudah mengenal pasti individu yang terlibat dan langkah pengesanan akan dilaksanakan.

“Sekarang ini kita akan laksanakan pengesanan mengapa mereka tidak hadir ke klinik. KKM ada data mereka dan lokasi mereka.

“Dalam tempoh kuarantin wajib 14 hari di rumah itu, KKM sentiasa berkomunikasi dengan pesakit termasuk mengingatkan mereka untuk menjalani ujian swab kali kedua,” katanya.

Beliau juga berkata pendekatan tersasar COVID-19 bagi kumpulan sasaran masih diteruskan meskipun kadar jangkitan ketika ini adalah rendah.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat tiga aspek yang dilakukan kementerian ketika ini iaitu menjalankan pengawasan saringan bagi pesakit seperti influenza (ILI) serta kes-kes Jangkitan Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) dan ujian prapembedahan.

Ditanya mengenai antivirus Remdesivir, Dr Noor Hisham berkata ketika ini, Malaysia tidak mempunyai bilangan pesakit yang mencukupi untuk dimasukkan di bawah ujian klinikal antarabangsa iaitu Percubaan Solidariti Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Beliau berkata sejumlah 100 pesakit diperuntukkan namun Malaysia hanya mempunyai sembilan pesakit di bawah percubaan itu.

“Kami masih memantau rapat (percubaan itu) dari segi keberkesanannya. Meneliti keadaan sama ada kita memerlukan ubat itu ketika ini. Jika kes semakin berkurangan, mungkin (kita boleh mempunyai) pilihan lain,” katanya. – Bernama