Misi balas dendam dan cari penawar

LONDON, 16 OGOS – Manchester City dalam misi balas dendam ke atas Tottenham hujung minggu ini atas penyingkiran dramatik mereka daripada saingan Liga Juara-Juara musim lepas, sementara Manchester United dan Liverpool juga dilihat mahu meneruskan momentum permulaan positif hujung minggu ini.

City melengkapkan trebel domestik musim lepas, namun gagal dalam saingan Liga Juara-Juara sekali lagi selepas Spurs mara ke separuh akhir menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan.

Pemain sayap Man City, Raheem Sterling memulakan kempen baharu dengan menjaringkan hatrik dalam perlawanan pembukaan apabila City membelasah West Ham 5-0.

Spurs turut meraih kemenangan ketika menentang Aston Villa, namun terpaksa menghasilkan kebangkitan dan dua gol dalam tempoh minit terakhir daripada Harry Kane untuk mengesahkan kemenangan 3-1.

Kane memberi amaran bahawa Spurs tidak boleh tercicir di awal kempen sekiranya mereka mahu mengekalkan cabaran merebut gelaran.

Pemain-pemain City meraikan jaringan keempat ketika menentang West Ham baru-baru ini. – AP

Manakala Liverpool yang bermain lebih awal akan membuat kunjungan ke Southampton.

Chelsea pula merupakan satu-satunya pasukan ‘enam teratas’ yang tewas dalam perlawanan pembukaan apabila kecundang 4-0 kepada Manchester United dalam perlawanan pertama Lampard.

Dan meskipun tewas dalam perlawanan Piala Super UEFA kepada Liverpool menerusi penentuan sepakan penalti setelah seri 2-2 di Istanbul, Lampard melihat persembahan positif yang dihasilkan oleh pasukannya.

Lampard masih dijanjikan sambutan wira bagi perlawanan pertamanya di laman sendiri sebagai pengurus menentang Leicester di Stamford Bridge minggu ini.

Namun dia benar-benar memerlukan kemenangan untuk mendiamkan pihak yang meragui keputusan kelab untuk memberikan tugasan itu kepadanya.

Di Old Trafford, selepas aura negatif menyelubungi United kerana hanya membuat tiga penandatanganan baharu semasa jendela musim panas, kemenangan bergaya ke atas Chelsea adalah tonik sempurna buat pengurus Ole Gunnar Solskjaer.

Harry Maguire, Aaron Wan-Bissaka dan Daniel James semuanya menghasilkan impak besar ketika United merekodkan kemenangan tanpa bolos pada perlawanan pembukaan, sementara James meledakkan gol sebagai pemain gantian pada perlawanan itu.

Bagaimanapun, kunjungan ke Wolves akan menjadi satu lagi misi sukar yang bakal menguji azam United musim ini. – AFP