Misi ‘berani’ tentera NZ

WHAKATANE, 13 DIS – Tindakan Pasukan elit tentera New Zealand mengeluarkan enam mayat daripada kepulauan White Island hari ini mendapat pujian untuk misi ‘berani’ yang dijalankan di bawah ancaman akan terjadinya letusan lagi.

Pada awal pagi ini, dua helikopter tentera telah berlepas dari Lapangan Terbang Whakatane untuk ke pulau yang terjadinya letusan gunung berapi pada Isnin lalu membunuh sekurang-kurangnya 16 orang dan beberapa belas lagi mangsa mengalami kecederaan.

Matlamat pasukan tersebut adalah untuk membawa pulang lapan mayat yang masih berada di pulau tersebut.

Selepas empat jam menunggu sementara pakar gunung berapi memantau gunung berapi tersebut secara langsung untuk melihat tanda-tanda awal berlakunya letusan lagi, pihak polis berkata kebanyakan mayat telah dibawa masuk dengan selamat ke sebuah kapal perang yang berlabuh di luar pantai.

“Para tentera tersebut telah memperlihatkan keberanian yang luar biasa untuk memastikan enam mayat dibawa pulang ke pangkuan keluarga mereka,” kata pesuruhjaya polis Mike Bush kepada wartawan, sambil menambah bahawa mereka telah beroperasi dalam satu persekitaran yang tidak menentu dan mencabar.

Bush berkata usaha untuk mencari dua mayat masih lagi dijalankan, di mana penyelam akan menjalani operasi laut yang berhampiran setelah mayat kelihatan terapung di lautan pada Selasa lalu.

Helikopter juga melakukan pencarian di sekitar pulau tersebut dan Bush akan mengarahkan untuk kembali ke pulau tersebut jika keadaan lebih selamat.

Pengawasan daripada udara membantu dalam misi pencarian ini sebelum operasi menyelamatkan enam mayat ini dijalankan.

Pasukan yang terdiri dari enam orang ini menggunakan peralatan khas dan alat bantu bernafas yang mengakibatkan mereka terpaksa mengehadkan pergerakan.

Komander pasukan khas Rian McKinstry menyatakan dia begitu berbangga dengan kumpulan tersebut, mereka terpaksa berdepan dengan kepanasan untuk membawa pulang mayat-mayat tersebut. – AFP

Tentera NZ menjalani operasi menyelamat mayat dari kepulauan White Island, New Zealand pada 13 Disember. – AP