BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Pasukan Bola Sepak Bawah 18 Tahun (B-18) Brunei Darussalam perlu memberikan segala-galanya dalam saingan kelayakan Kejuaraan B-19 Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) di Korea Selatan.
Pasukan itu, yang juga dikenali sebagai Tabuan A di bawah kendalian Takao Fujiwara, berlepas hari ini dan akan berdepan dengan Indonesia dalam perlawanan pertama mereka pada hari Selasa. Pada hari Khamis, mereka akan berdepan dengan pasukan tuan rumah, Korea Selatan, diikuti dengan perlawanan menentang Malaysia dan menamatkan kempen saingan kumpulan menentang Timor Leste pada 8 November.
Jurulatih Takao berkata bahawa pasukan berada dalam kumpulan sukar namun apa yang penting baginya adalah pasukan berjuang selama 90 minit.
“Tahniah kerana terpilih mewakili Brunei Darussalam di kejohanan berprestij ini,” kata Pemangku Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD), Roslin Suhailee.

“Ingat bahawa ini adalah tanggungjawab besar. Kita dalam kumpulan sukar, dan para pemain perlu mempunyai mentaliti yang kuat dan jangan sesekali putus asa. Kebanyakan kami sudah mempunyai pengalaman bermain di pentas antarabangsa dalam kejohanan peringkat usia yang lain, jadi gunakannya sebagai kelebihan anda.
“Anda sudah berlatih bersama sejak bulan Januari di bawah jagaan jurulatih Takao, dan 10 bulan kebelakangan ini sepatutnya sudah memberikan anda masa yang cukup bagi mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal.”
Juga hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat jalan ialah Pengarah Teknikal NFBAD, Yvon Avry dan pegawai serta kakitangan NFABD yang lain.