DUBAI, 18 Jun – Dubai FDI, agensi pembangunan pelaburan Ekonomi Dubai, akan menghantar perwakilan ekonomi ke Australia untuk merangsang kerjasama dan menarik pelaburan, lapor agensi berita Emiriah Arab Bersatu (UAE) WAM semalam.
Misi itu akan diadakan bermula 25 hingga 29 Jun tahun ini, dan disertai oleh wakil termasuk pegawai-pegawai kanan dan eksekutif daripada pihak berkuasa dan syarikat Dubai, menurut laporan.
Sejak tahun 2013, syarikat penerbangan antarabangsa UAE Emirates Airline telah bekerjasama dengan syarikat penerbangan terbesar Australia Qantas dalam satu penggabungan strategik dan kedua-dua pihak bersetuju pada Mac tahun ini akan melanjutkan perkongsian sehingga tahun 2023.
Menurut laporan itu lagi, kumpulan Dubai FDI akan mengadakan mesyuarat dengan entiti awam dan swasta di Sydney dan Melbourne demi menekankan kelebihan melabur dalam sektor utama Dubai. UAE dan Australia menjalin hubungan perniagaan ekonomi selama lebih 30 tahun dalam bidang seperti kereta, galian, minyak dan gas, bijirin dan daging dan ternakan. Perkongsian yang kukuh itu dinikmati oleh lebih 25,000 warga Australia yang menetap di negara itu, kata laporan. UAE juga dianggap sebagai rakan perniagaan terbesar Australia di Timur Tengah, dengan perdagangan bukan minyak pada 10 bilion dirham dan kira-kira 350 firma Australia menjalankan perniagaan di negara itu. – Xinhua