Misi ke Syria buka mata untuk sentiasa bersyukur

Oleh Nurdiyanah R.

Pengalaman pertama kali menjejaki bumi Syria memang sukar digambarkan dengan kata-kata sepenuhnya.

Menjadi sukarelawan dalam menyertai misi kemanusiaan banyak menyimpan seribu kenangan manis dan juga kisah yang meruntun jiwa salah seorang insan berjiwa kesukarelawan ini setelah mengikuti Projek Syrian Warm Winter 2.0 (SWW 2.0) Persatuan KamiPerihatin atau lebih dikenali sebagai WeCare pada bulan lepas.

“Menyaksikan kesedihan di mata mereka, bagaikan sesuatu yang menghentam hati ini. Ahli keluarga yang terpisah antara satu sama lain dan anak-anak yang ketiadaan orang tuanya untuk mendapatkan curahan kasih sayang.

“Fikiran mereka pastinya terganggu, lebih-lebih lagi ketika musim cuaca sejuk, kekurangan sumber makanan dan minuman, serta diselubungi keadaan persekitaran yang basah dan kotor. “Hanya Allah SWT sahaja yang tahu apa yang saya rasa pada ketika itu,” kata Dayang Nor Aliiyah binti Haji Mail selaku pegawai perhubungan awam WeCare yang telah mengikuti misi kemanusiaan dalam membantu mangsa pelarian Syria menerusi Projek SWW 2.0 anjuran WeCare semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

Mengagihkan sumbangan rakyat Brunei

Dayang Nor Aliiyah yang menyertai projek misi kemanusiaan di Syria yang bermula pada 9 Januari hingga 25 Januari lalu itu turut disertai oleh Presiden WeCare, Awang Muhammad Akmal bin Haji Marsidi dengan kerjasama beberapa persatuan kemanusiaan dari Malaysia, Global Peace Mission dan HUDA.

Wakil dari WeCare bersama para sukarelawan yang lain semasa mengikuti misi kemanusiaan di Syria menerusi Projek SWW 2.0 bulan lalu. – Gambar serahan WeCare.
Dayang Nor Aliiyah bersama Awang Muhammad Akmal semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

Dayang Nor Aliiyah bersama Awang Muhammad Akmal semasa menjalankan misi kemanusiaan di Syria menerusi Projek SWW 2.0 dengan mengagihkan barangan-barangan keperluan hasil sumbangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam kepada para pelarian Syria di kem perlindungan mereka. – Gambar serahan WeCare.
Terlihat wajah-wajah pelarian Syria yang penuh keceriaan apabila menerima bantuan untuk meringankan bebanan mereka dalam meniti kehidupan dari hari ke hari. – Gambar serahan WeCare.

“Alhamdulillah, terpilih untuk mengikuti misi ini sememangnya bagaikan suatu rezeki dan kerahmatan di mana ia secara tidak langsung mampu membuka mata, jiwa dan hati ini untuk sentiasa merasa bersyukur dengan apa yang dimiliki selama ini,” ujarnya dengan penuh ketulusan.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa menerusi projek itu, WeCare telah berjaya mengumpulkan sumbangan daripada rakyat dan penduduk Brunei sebanyak $200,000 sejak dana berkenaan dilancarkan yang telah diagih-agihkan kepada pelarian Syria dengan dibantu oleh Global Peace Mission.

Hasil dana sumbangan berkenaan adalah bagi keperluan pembelian bahan bakar, jaket sejuk, tempat perlindungan dan makanan asas bagi membantu pelarian Syria menjalani kehidupan harian terutama dalam musim sejuk.

“Bersatunya rakyat Brunei yang sentiasa mendoakan dan juga menyalurkan sumbangan berbentuk kewangan yang di luar jangkaan sememangnya begitu bermakna bagi WeCare untuk merealisasikan projek ini demi saudara-saudara Islam yang mengalami kesusahan dan keperitan hidup,” jelasnya lagi yang turut mengimbas kenangan manis apabila salah seorang hamba Allah di negara ini menyalurkan sumbangan kewangan dengan seikhlas hati yang mana pada ketika itu hanya berbaki $3 dalam akaun banknya,” jelas beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Segalanya sentiasa tersemat di hati

Dalam pada itu, Awang Muhammad Akmal juga turut mengungkapkan bahawa suatu pengalaman yang sukar dilupakan apabila berpeluang berinteraksi bersama sebahagian pelarian Syria semasa mengagihkan keperluan barangan sumbangan di kem perlindungan mereka.

“Walaupun saat-saat kisah suka dan duka bersama mereka tidak sempat terakam sepenuhnya, namun segalanya sentiasa tersemat di hati ini sampai bila-bila.

Melihat wajah-wajah mereka penuh keceriaan apabila menerima bantuan makanan, jaket sejuk dan bahan bakar, itulah yang kami semua harapkan, meskipun kami tidak dapat menghilangkan kesedihan perasaan yang mereka alami selama ini sepenuhnya.”

“Oleh itu, kita sebagai rakyat dan penduduk di negara ini mestilah sentiasa mendidik diri dengan menyemai rasa kesyukuran di atas limpahan rahmat Allah SWT yang memberikan rezeki keamanan dan kedamaian hidup di bumi tempat kita dilahirkan ini.

Tunaikanlah tanggungjawab dan amanah sebagai anak Brunei dalam sama-sama memelihara kesucian agama, kedaulatan bangsa dan negara yang kita cintai ini,” ucapnya dengan nada terharu semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.