Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misi kecemerlangan pemain bola sepak China

    PORTO FELIZ, Brazil – Setelah tiba di Brazil, pemain bola sepak China, Long Yushuo yang juga dikenali sebagai Thomas, berharap untuk meningkatkan dan mengadapatasi kemahiran bola sepaknya.

    Thomas, 16, adalah salah seorang pemain muda dari pasukan China, Shandong Luneng, yang telah dihantar ke kelab Desportivo Brasil di Porto Feliz, berhampiran Sao Paulo, yang mana dibeli oleh Shandong pada tahun 2014.

    Idea perjalanan sejauh 36,000 kilometer itu akan membolehkan anak-anak muda ini membawa kembali hasil pelaburan dalam perkembangan bola sepak China dengan memperolehi sentuhan ‘magis’ bola sepak Brazil.

    Thomas dan 22 orang pemain lainnya dari pasukan bawah 16 tahun itu telah tiba di sana dari Jinan, ibu kota wilayah Shandong, pada April lalu. Mereka hanya mengetahui sedikit mengenai Brazil.

    Di samping latihan bola sepak, mereka juga mempelajari bahasa Portugis di bandar aman itu yang hanya mempunyai 50,000 penduduk. Namun Thomas, yang memilih namanya sebagai penghormatan kepada Thomas Muller dari pasukan Bayern Munich, sudah mengetahui jelas mengenai pelajaran utamanya di Porto Feliz.

    Pemain-pemain muda China yang telah dihantar oleh kelab bola sepak Shandong Luneng China menghadiri salah satu sesi kelas di sana. – AFP

    “Teknik,” katanya, bersama rakan sepasukannya, yang kesemuanya memakai baju jalur oren Shandong.

    China mungkin tidak mempunyai banyak pemain bola sepak tetapi, oleh kerana saranan daripada Presiden Xi Jinping dan juga pelaburan yang begitu banyak terhadapnya, ia kini menampakkan hasil yang cepat.

    Luneng, sebuah anak syarikat bagi syarikat elektrik nasional, merupakan salah satu daripada pelabur besar dalam pelan pengembangan itu, yang menjadikan China sebagai pasaran pemindahan kelima terbesar di dunia pada tahun 2016. Daripada semua pemain import asing ke Liga Super, 21 pemain Brazil adalah kontinjen terbesarnya.

    Walau bagaimanapun, pasukan kebangsaan itu masih belum mendapat banyak manfaat daripadanya. China menduduki tangga ke-60 dalam ranking FIFA dan tidak layak untuk Piala Dunia tahun ini. Jadi ahli strategi China memutuskan untuk cuba mengambil sedikit rahsia bola sepak Brazil supaya generasi akan datang dapat memperoleh ‘kelebihan’ yang hilang itu.

    “Pertukaran ini dicipta supaya mereka dapat mencapai kualiti yang sama dengan para pemain di sini,” kata penyelaras teknikal Desportivo Brasil, Rodrigo Pignataro kepada AFP.

    “Mereka sangat berdisiplin, tetapi mereka kekurangan keseragaman, kelincahan dan fleksibiliti. Itulah yang terdapat pada pemain-pemain Brazil ini.”

    Desportivo Brasil bukanlah sebuah kelab biasa, tetapi lebih seperti akademi latihan, jadi pemain China ini berada dalam jagaan yang baik.

    Kelab ini telah mengajar lima pemain China lainnya dari pasukan bawah 20 tahun serta 130 pemain Brazil berumur dari 14 tahun sehinggalah pemain pasukan profesional kebangsaan liga ketiga. Semuanya mencari kecemerlangan yang dapat menembusi peringkat teratas.

    Pemain-pemain muda China yang telah dihantar oleh kelab bola sepak Shandong Luneng China tiba di pusat latihan Porto Feliz, kira-kira 120 kilometer dari Sao Paulo, Brazil. – AFP

    Aksi pemain-pemain muda China yang telah dihantar oleh kelab bola sepak Shandong Luneng China semasa sedang melakukan sesi latihan mereka di Pusat Sukan Brazil Luneng yang terletak di Porto Felizl. – AFP

    Bagi anak-anak muda di Porto Feliz ini, di mana bendera Brazil dan China kelihatan berkibar, masa depannya juga haruslah cerah.

    “Ini adalah kumpulan kerajaan China yang menginginkan pasukan ini layak bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Piala Dunia pada tahun 2022. Kami mempunyai tanggungjawab yang berat,” kata Pignataro.

    Setelah mempelajari buku-buku sejarah dan kelas akedemik lainnya pada sesi pagi, tumpuan utamanya adalah berada di padang latihan. Vitinho, seorang pemain hadapan yang lincah, telah bermain tiga musim di Porto Feliz dan kini menjadi sebahagian daripada pasukan bawah 20 tahun. Memandangkan betapa berintegrasinya pemain berusia 18 tahun ini – meminati muzik funk Brazil – ramai daripada mereka yang tidak mengetahui bahawa nama sebenarnya adalah Liu Chaoyang.

    “Saya mahu bermain di Eropah, tapi saya perlu banyak usaha untuk memperbaiki corak permainan,” katanya yang fasih berbahasa Portugis.

    Tetapi bagi Zhao Shuo, pembantu jurulatih berusia 25 tahun, mengatakan bahawa dia sudah bersedia untuk diketengahkan. Dia telah menghabiskan dua bulannya bersama rakan pasukan Brazilnya dan berkata satu-satunya lapangan yang memberi kelebihan padanya ialah keteguhan disiplin yang bersangkut paut dengan pasukan Asia.

    “Bola sepak memerlukan masa kerana ia adalah jenis pendidikan dan pendidikan itu bukanlah dalam jangka masa pendek. Mungkin kita memerlukan 10 atau 20 tahun atau lebih,” katanya dalam bahasa Inggeris, merujuk kepada Jepun sebagai contoh.

    “Kami perlu belajar daripada negara jiran kami dan bersabar,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda