Misi membaik pulih surau ceriakan warga kampung

Oleh Shanika Abdullatib

GUA MUSANG – Perjalanan melalui laluan balak sejauh 60 kilometer sememangnya mencabar, ditambah beberapa adegan ‘drama’ kenderaan pacuan empat roda yang tersangkut akibat lubuk berlumpur, dan hujan lebat pada dua jam terakhir perjalanan.

Akhirnya, penulis dan beberapa orang turut serta sampai ke destinasi yang dituju iaitu Perkampungan Orang Asli Temiar di Gua Musang.

Di mana kelihatan susuk bangunan berwarna hijau lumut dan kuning serta papan tanda nama Surau Pos Balar dilekatkan pada bumbung berwarna hijau berlapikkan anyaman buluh, jelas tampak pudar dan kusam.

Kawasan sekeliling surau berpagar jaring dawai hijau yang dilapangi rumput dan lopak air serta selut akibat hujan lebat malam-malam sebelumnya, menambahkan lagi suram bangunan yang menjadi tumpuan masyarakat Orang Asli dari kaum Temiar yang beragama Islam, beribadat serta menimba ilmu agama.

Surau yang dibina ada tahun 2005 itulah yang menjadi fokus kedatangan Team X4 Adventures yang turut sertai Datuk Azlam Shah Alias, selaku penasihat projek.

Ruang solat Surau Pos Balar setelah diubahsuai oleh Team X4 Adventures. – Bernama
Mualim Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) Alwi Ismail, 37, (kiri) turut serta dalam Projek Menceriakan Surau Pos Balar Team X4 Adventures. – Bernama
Para peserta sukarelawan Team X4 Adventures memasang papan tanda Surau POs Balar yang baharu semasa Projek Menceriakan Surau Pos Balar oleh Team X4 Adventures baru-baru ini. – Bernama
Para peserta Team X4 Adventures terpaksa meredah laluan berlumpur dengan menaiki pacuan empat roda sebelum tiba di Pos Balar semasa Projek Menceriakan Surau Pos Balar baru-baru ini. – Bernama

Surau bertukar wajah

Penulis berkongsi terdapat dua pasukan Team X4 Adventures yang berganding bahu untuk menjayakan projek ini, Satu pasukan tiba pada 20 September dan satu lagi pada 24 September.

Semua kerja yang perlu dibuat sudah diatur, dimulakan pada 20 September lalu. Bukan sahaja memberi warna baru tetapi juga membaik pulih tandas serta tempat mengambil wuduk, kerja-kerja pendawaian dan kerja-kerja lain yang perlu untuk memberi ‘nafas baharu’ kepada Surau Pos Balar.

Terdapat sekitar 300 orang Asli Temiar di perkampungan itu yang sudah memeluk agama Islam.

Dalam masa dua hari sahaja, surau setingkat yang boleh memuatkan 50 orang untuk solat berjemaah itu bertukar wajah apabila diberikan cat serta hiasan dalaman baharu.

Pada malam 27 September, solat maghrib berjemaah sudah boleh diadakan. Turut serta adalah ahli kumpulan sukarelawan yang masih berada di perkampungan tersebut.

Penulis menyatakan bahawa insan yang paling gembira dengan perubahan surau tersebut adalah Ustaz Alwi Ismail, 37, mualim itu menabur bakti mengajar agama Islam di perkampungan Orang Asli Temiar itu sejak 10 tahun lalu.

Di surau itulah beliau gigih mengajar anak-anak Orang Asli Temiar yang sudah memeluk agama Islam.

Surau itu bagaikan lubuk pencarian ilmu agama Islam mereka.

Hasil kerja seminggu

“Alhamdulilah, memang sangat seronok surau ini kini berwajah ceria. Langsung tak sangka semua kerja dilakukan dalam tempoh kurang dari seminggu.

“Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, kekurangan alatan, tenaga kerja yang terhad, saya sangat terharu semua ini dapat dilakukan. Satu kegembiraan kepada penduduk, terutama anak Orang Asli di sini,” kata Alwi.

Beliau bersama tiga orang mualim lain yang mengajar di surau berkenaan dapat melihat perubahan minat masyarakat Orang Asli Temiar terhadap agama Islam, malah jumlah mereka semakin bertambah saban tahun.

Alwi berharap keceriaan surau hasil sumbangan orang ramai dan kerja keras sukarelawan yang datang membantu dapat mencambahkan lagi minat mereka terhadap agama Islam.

Keterujaan kanak-kanak Orang Asli itu jelas terzahir apabila mereka tidak menunggu lama untuk datang dan bersolat dan mengaji Al-Quran di surau sebaik selesai kerja-kerja membaik-pulih surau selesai.

Kuasa derma peribadi

Semua sumbangan hasil kutipan derma peribadi yang berupa papan rehal, telekung dan kain pelikat kanak-kanak serta papan tulis nyata menghadirkan senyum lebar di bibir jemaah comel yang hadir pada malam tersebut.

Berkongsi selanjutnya perkembangan pembelajaran agama di Surau Pos Balar, Alwi menjelaskan kelas fardhu ain adalah aktiviti pembelajaran utama dengan kelas diadakan setiap malam selepas solat Maghrib.

“Kita ajar dan titik beratkan tentang kebersihan sebab ia adalah perkara asas dalam agama.

“Alhamdulillah, maklum balas yang diberikan sangat bagus walaupun cabarannya sangat besar untuk menyuruh serta menasihati mereka ini pada mulanya.

“Kaedah paling terbaik yang saya gunakan adalah memberi dan menjadi contoh kepada mereka kerana ini lebih mudah difahami,” katanya, sambil menambah beliau menggunakan bahasa kaum Temiar agar penyampaiannya lebih berkesan ketika mengajar.

Sementara itu, penasihat projek Datuk Azlam Shah Alias berkata, projek menceriakan surau tersebut timbul secara tidak langsung ketika komuniti Team X4 Adventures datang ke perkampungan itu pada Ogos lepas bagi menyempurnakan misi membina pusat pembelajaran di luar kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar yang terletak bersebelahan surau tersebut.

Menurut beliau, selepas melihat keadaan surau yang agak suram, ditambah dengan keadaan tandas yang tidak selesa serta beberapa kemudahan yang perlu dibaiki, mereka terpanggil untuk melakukan sesuatu.

Ilham dari Masjid Nabawi

Dengan sikap murah hati masyarakat Malaysia yang cakna dalam menghulurkan sumbangan peribadi seperti wang ringgit, keringat, idea dan kemahiran tanpa mengira latar belakang, misi membaik pulih dan menceriakan Surau Pos Balar pun digerakkan.

“Selepas berbincang dengan Ustaz Alwi, kami kembali semula ke sini bersama 23 sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran. Ada pakar perubatan, juruterbang, jurutera dan pakar pemanduan laluan balak. Alhamdulillah. Inilah hasilnya,” katanya.

Azlam yang juga Pengerusi, MR. D.I.Y. Group (M) Berhad menjelaskan, selain dijadikan pusat beribadat dan mengajar agama Islam, surau tersebut turut berfungsi sebagai pusat komuniti, kawasan transit dan ruang melaksanakan pelbagai aktiviti oleh pihak SK Balar.

Dengan kepelbagaian fungsi itu, ia secara tidak langsung memberi inspirasi kepada beliau untuk memilih warna merah terracotta dan kuning air (beige) – ilham kepada kemakmuran Masjid Nabawi di Madinah yang sentiasa menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia.

“Apa yang indahnya tempat ini adalah masyarakat Orang Asli Temiar, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) dan pengurusan sekolah memberi kerjasama yang sangat baik, bersikap terbuka malah keinginan untuk mempelajari serta berkongsi idea dengan kami,” jelasnya.

Namun begitu, Azlam berharap, pihak yang berkenaan dapat membantu penduduk membaiki laluan ke perkampungan tersebut memandangkan keadaannya yang sangat mencabar terutama apabila tiba musim tengkujuh.

“Itu adalah saat paling sukar bagi penduduk malah sesiapa yang sahaja yang mahu keluar atau masuk ke perkampungan ini.

“Kita faham membaiki laluan balak tersebut sangat tinggi kos namun sangat berharap jika sekurang-kurangnya laluan itu ditambah baik dari semasa ke semasa,” mohon Azlam, yang menjelaskan SK Balar terletak 90km dari bandar Gua Musang dan perlu melalui jalan balak sejauh 60km dan 30km lagi jalan berturap. – Bernama