Saturday, October 5, 2024
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misi membersihkan pantai tercemar menjelang Tokyo 2020

    TOKYO – Pada hari yang panas terik di Tokyo, kanak-kanak menjerit keriangan ketika mereka mencepuk ke dalam air di pantai berpasir, dengan latar langit bandar terbesar di dunia berkilau-kilauan di belakang mereka.

    Pemandangan itu mungkin kelihatan biasa sahaja tetapi ia tidak dapat dibayangkan sehingga baru-baru ini apabila aktivis tempatan memutuskan untuk membersihkan air tercemar di pantai bandar, berharap dapat meninggalkan warisan daripada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

    “Dahulu Teluk Tokyo mempunyai banyak pantai yang boleh digunakan untuk berenang,” kata salah seorang aktivis, Yuzo Sekiguchi, 70 tahun. “Namun pada masa Sukan Olimpik Tokyo terakhir diadakan pada tahun 1964, air di sana dicemari oleh bahan buangan kilang.”

    “Saya memutuskan untuk mengembalikan pantai Tokyo yang bersih untuk generasi akan datang,” beritahunya kepada AFP.

    Sekiguchi, di mana nenek moyangnya menangkap ikan di perairan berkenaan selama beberapa generasi, menggunakan elemen semula jadi seperti rumpai laut dan tiram untuk membersihkan air di satu bahagian pantai di Teluk Tokyo, yang berdepan dengan ibu negara Jepun.

    Sekumpulan perenang berenang di tepi laut Odaiba di Teluk Tokyo. – AFP

    “Setiap tiram boleh membersihkan 400 liter air setiap hari,” kata beliau.

    Tiram menelan plankton dan menyerap bakteria, menjadikan air lebih jernih dan lebih bersih. Ia masih boleh dimakan walaupun pihak berkuasa tidak menyarankan untuk memakannya disebabkan isi kandungan bakterianya.

    Bahagian pantai yang telah dibersihkan oleh Sekiguchi pertama kali dibukakan kepada perenang pada tahun 2012, pada mulanya hanya untuk beberapa hari sebagai satu uji kaji.

    Namun ia telah dibuka kepada perenang hampir sepanjang musim panas sejak 2015. Pada tahun ini ia dibuka selama 42 hari, disebabkan permintaan yang popular, seminggu lebih lama berbanding pada tahun 2017.

    Setiap tahun, pihak berkuasa menguji kualiti air sebelum memberikan kebenaran kepada perenang di pantai. Dan sementara Sekiguchi memutuskan untuk memulakan kerja-kerja pembersihan atas inisiatifnya sendiri, beliau telah menerima sokongan, termasuk bantuan kewangan daripada kerajaan tempatan.

    Meskipun langkah-langkah yang diambil oleh orang seperti Sekiguchi dan peningkatan dalam kemudahan pembetungan, pencemaran di perairan di sekitar Tokyo telah menimbulkan kebimbangan tatkala bandar itu bersiap sedia untuk menganjur Sukan 2020.

    Penganjur mengaku pada Oktober tahun lalu bahawa hujan musim panas yang berpanjangan telah membawa tahap bakteria yang tinggi ke tempat triathlon, sekali gus mencetuskan kebimbangan daripada pegawai Olimpik antarabangsa.

    Namun perancang Olimpik berkata mereka yakin satu kombinasi kemudahan pembetungan yang lebih baik dan pengenalan penapis dalam air akan mengekalkan kualiti air pada standard antarabangsa ketika acara sukan itu berlangsung.

    “Kami akan mewujudkan satu persekitaran yang membolehkan atlet mencatat prestasi terbaik dengan rasa selamat,” beritahu pegawai Tokyo 2020, Hidemasa Nakamura, pada persidangan akhbar baru-baru ini untuk mengumumkan siri triathlon.

    Tidak seperti bandar teluk utama yang lain, seperti Sydney atau San Francisco, kawasan teluk Tokyo yang padat penduduknya tidak mempunyai banyak landskap semula jadi yang tinggal, hasil daripada pembangunan pelabuhan awam, dermaga kontena dan lapangan terbang Haneda bertahun-tahun lamanya.

    Sebagai satu kawasan perumahan, kebanyakan teluk tidak disukai dengan sewa dan harga pembelian di sana jauh lebih rendah daripada kawasan popular di bandar yang mahal.

    Ahli kumpulan sukarelawan kelihatan memberi tunjuk ajar kepada perenang lainnya di taman tepi pantai Kasai di Teluk Tokyo. – AFP
    Bahagian pantai yang telah dibersihkan oleh Sekiguchi pertama kali dibukakan kepada perenang pada tahun 2012, pada mulanya hanya untuk beberapa hari sebagai satu uji kaji. Namun ia telah dibuka kepada perenang hampir sepanjang musim panas sejak 2015. Pada tahun ini ia dibuka selama 42 hari, disebabkan permintaan yang popular, seminggu lebih lama berbanding pada tahun 2017. – AFP

    Pembangunan kawasan tersebut bermula pada abad ke-16 tetapi pembinaan dan pencemaran daripada ‘keajaiban ekonomi’ selepas peperangan Jepun membuat aktiviti berenang dan mandi-manda di sana tidak dapat dibayangkan oleh penduduk Tokyo.

    Kenji Morita, seorang lagi aktivis yang cuba membersihkan perairan, berkata: “Selepas pencemaran teruk pada tahun 1970, orang telah lama lupa tentang laut sebahagiannya disebabkan pantai Tokyo telah diubah menjadi pelabuhan, yang tidak dibenarkan kepada orang awam pada umumnya.”

    Seperti Sekiguchi, Morita, 60 tahun, sedang menternak rumpai laut merah dan kima dalam usaha untuk menulenkan air di Odaiba, tempat acara triathlon dan renang maraton pada sukan Tokyo 2020.

    Pada tahun ini, pantai di Odaiba dibuka kepada aktiviti renang selama sembilan hari sebagai satu percubaan, dengan kualiti air diperiksa setiap hari sebelum perenang dibenarkan masuk ke dalam air.

    Morita berkata projek beliau menarik orang yang hilang upaya terutamanya tatkala Tokyo berusaha untuk mempertingkatkan kemudahan sebelum Sukan Paralimpik.

    “Apabila saya pertama kali memulakan projek ini lima tahun lalu, saya tidak menyedari bahawa tempat ini mempunyai kemudahan yang mudah diakses untuk semua orang,” disebabkan tanjakan dan lif, kata beliau.

    “Orang yang mempunyai kecacatan fizikal atau mental memilih untuk datang ke sini ke Odaiba dan bukannya ke tempat lain di luar Tokyo.”

    “Saya melihat banyak potensi di sini dalam membina semangat keghairahan untuk Tokyo Paralimpik,” tambah Morita.

    Dan ramai orang percaya sukan Olimpik akan datang, kini tinggal kurang dua tahun, merupakan peluang terbaik untuk Tokyo membersihkan kawasan mereka. Datuk bandar yang bertanggungjawab terhadap kawasan Odaiba telah berjanji akan “menjadikan laut Odaiba satu peninggalan atau warisan Sukan Tokyo 2020.”

    Sekiguchi, seorang arkitek yang juga menguruskan muziumnya sendiri, berkata projek beliau adalah didorong oleh “kekecewaan kerana tidak dapat memberikan anak perempuan saya pengalaman semula jadi yang saya alami.”

    “Pada tahun 2020, sekiranya Tokyo boleh menunjukkan kepada dunia cara kehidupan yang boleh wujud bersama dengan alam semula jadi, saya fikir Tokyo akan menerima penghormatan global.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda