Misi PBB puji pasukan keselamatan Afghanistan

KABUL, 11 Okt – Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan (UNAMA) telah memuji pasukan keselamatan Afghanistan dalam membuat persediaan menjelang pilihan raya, menurut kenyataan UNAMA hari ini.

“Dengan pilihan raya Parlimen Afghanistan berlangsung kurang daripada seminggu, UNAMA menekankan bahawa meskipun berdepan cabaran hebat dari segi keselamatan, kemajuan telah dicapai oleh pasukan keselamatan negara

itu dalam mengawal keadaan untuk rakyat membuang undi mereka,” menurut kenyataan tersebut.

Pilihan raya yang telah lama tertangguh itu dijangka akan diadakan pada 20 Oktober ini.

Lebih 2,600 calon dari 33 wilayah kecuali Ghazni, akan bertanding untuk 249 kerusi parlimen.

Gambar bertarikh 17 September 2018 menunjukkan Tadamichi Yamamoto (kiri) berucap di hadapan Majlis Keselamatan PBB. Tadamichi Yamamoto memuji pasukan keselamatan Afghanistan dalam membuat persediaan menjelang pilihan raya nanti. – AP

“Pasukan keselamatan Afghanistan mempunyai tanggungjawab dalam mengawal proses undian,” menurut kenyataan utusan khas PBB dan ketua UNAMA, Tadamichi Yamamoto.

“Tahap keselamatan yang mencukupi sangat diperlukan bagi memberikan peluang kepada pengundi-pengundi yang berdaftar untuk melaksanakan hak berpelembagaan,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa rakyat Afghanistan tidak sepatutnya dihalang, ditakut-takuti atau dinafikan hak mereka untuk memilih perwakilan mereka dan membentuk masa depan negara.

“Mana-mana keganasan atau tindakan menakut-nakutkan yang disasarkan ke atas para pengundi, calon dan pegawai pilihan raya adalah tidak dapat diterima dan saya mengecam sekeras-kerasnya,” tegas utusan PBB merujuk kepada serangan yang berlaku akhir-akhir ini yang menyasarkan calon-calon pilihan raya, pasukannya dan para pengundi.

“Sementara memenuhi peranan dalam mengawal proses tersebut, UNAMA menekankan bahawa pasukan keselamatan Afghanistan juga mempunyai tanggungjawab untuk tidak berat sebelah dari segi politik dalam menunaikan tanggungjawab,” menurut kenyataan tersebut. – Xinhua