ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
ELLERY Hathaway tahu serba sedikit mengenai pembunuh bersiri.
Pengetahuannya itu bukanlah datang daripada latihan kepolisannya.
Ellery adalah seorang pegawai polis di kejiranan Woodbury yang tenang, di mana kes pencuri basikal masih berpeluang untuk keluar di dalam muka akhbar.
Tiada sesiapa pun di sana yang tahu bahawa Ellery pernah menjadi mangsa ke-17 dalam kes pembunuhan bersiri yang kejam Francis Michael Coben, dan satu-satunya mangsa yang terselamat.
Apabila tiga orang telah didapati hilang dalam masa tiga tahun di pekan itu, sekitar hari jadinya, iaitu pada masa yang sama dia diculik dahulu, Ellery khuatir jika rahsianya diketahui seseorang.
Seseorang yang sangat berbahaya.
Pegawai atasan Ellery cuba menenangkannya tetapi Ellery yakin bahawa perkara tersebut akan berpanjangan dan sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa seterusnya.
Justeru Ellery menghubungi seseorang yang akan mempercayainya.
Ejen FBI yang telah menyelamatkannya daripada pembunuh bersiri dahulu, Ejen Reed Markham, yang terkenal kerana berjaya menyelesaikan kes Coben, namun telah mengalami kehidupan yang berantakan.
Perkahwinan yang musnah dan dianggap sudah tidak cekap dalam tugasan kerana kegagalan dalam satu kes yang besar.
Apabila Ellery menghubunginya, dia mempersoalkan sekiranya Ellery benar-benar berjaya ‘diselamatkan’.
Kejayaan kes terbesarnya itu telah menyebabkan Ellery sentiasa terbangun kerana mimpi ngeri, dan kini bersama-sama mereka berdua akan kembali mengharungi kisah silam, dengan kes yang telah menjadikan siapa diri mereka sekarang dan seorang pembunuh bersiri yang tidak harus terlepas.