Misi pencarian dihentikan

TOKYO, 9 SEPT – Pencarian puluhan anak kapal dari sebuah kapal yang karam akibat taufan kuat minggu lalu telah ditamatkan hari ini, menurut pihak berkuasa Jepun, dengan hanya dua orang kru kapal yang terselamat dijumpai.

Kapal Gulf Livestock 1, yang membawa 6,000 ekor lembu memberi isyarat kecemasan minggu lalu ketika taufan Maysak melalui kawasan tersebut, mengarahkan misi pencarian untuk 43 kru yang berada di dalam kapal.

Pengawal Pantai Jepun bertungkus-lumus mencari kru yang hilang selepas taufan kuat Haishen membadai di mana kapal itu berada.

“Kami membuat keputusan untuk memindahkan pencarian untuk mangsa yang hilang kepada rondaan biasa pada waktu matahari terbenam hari ini,” kata pengawal pantai dalam satu kenyataan.

“Kami tidak mempunyai sebarang petunjuk untuk mencari mereka selepas pencarian hari ini dengan kapal peronda dan sebuah kapal terbang,” katanya.

Dua yang terselamat dijumpai minggu lalu, sementara mayat anggota anak kapal telah dijumpai di laut Jumaat lalu.

Seorang yang terselamat dari kapal, ketua pegawai warga Filipina berusia 45 tahun, memberitahu penyelamat dia sempat memakai jaket keselamatan dan terjun ke laut selepas memberi amaran di atas kapal. – AFP