Misi pencarian mangsa berakhir

PALU, Indonesia, 11 Okt – Misi pencarian mangsa terkorban akibat bencana gempa-tsunami telah ditamatkan hari ini, meskipun 5,000 orang masih hilang.

Gempa berukuran 7.5 magnitud dan kejadian tsunami menghanyutkan Palu pada 28 September.

Lebih 2,000 mayat telah ditemui sejak bencana alam itu melanda Pulau Sulawesi.

Tetapi pihak berkuasa bimbang lebih 5,000 mangsa tertimbus di bandar it, di mana keseluruhan perkampungan terjejas.

Pasukan penyelamat bergelut untuk mencari mangsa-mangsa yang tertimbus dan usaha menyelamat semakin sukar di mana tanah semakin keras dan mayat-mayat hancur di dalam keadaan cuaca panas tropika.

Anggota pasukan mencari dan menyelamat Indonesia bertugas pada hari terakhir pencarian di perkampungan Balaroa, Palu kelmarin. – AFP

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa akan berakhir petang hari ini,” beritahu pengarah SAR di Palu, Bambang Suryo kepada AFP.

Pihak kerajaan sebelum ini memberitahu bahawa kawasan yang terjejas teruk tidak akan diganggu dan dijadikan sebagai kubur besar.

Taman-taman dan monumen dirancang untuk diletakkan di tiga dari kawasan yang terjejas teruk, Balaroa, Petobo dan Jono Oge bagi memberi penghormatan kepada beribu-ribu mangsa terkorban yang belum dijumpai.

Zon tersebut hancur, fenomena di mana kesan gempa itu menyebabkan tanah berubah menjadi pasir jerlus.

Bantuan kemanusiaan telah dijalankan di bandar yang dilanda bencana tetapi dikritik kerana proses berjalan dengan lambat.

Beberapa pasukan kecemasan asing dihalang untuk dikerahkan dengan segera bagi membantu mencari mangsa yang hilang dan terkorban.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata 200,000 orang memerlukan bantuan kemanusiaan di Palu di mana bekalan air bersih dan perubatan masih berkurangan.

Kira-kira 80,000 terjejas akibat bencana itu, ramai membina perkhemahan di luar rumah mereka yang rosak. – AFP