MADRID, 4 Mac – Masa depan Santiago Solari tampak akan bergantung kepada Real Madrid dengan menjuarai Liga Juara-Juara tetapi dua kekalahan di tangan Barcelona dalam tempoh empat hari membawa kembali masalah lama.
Selepas tersingkir daripada saingan Copa del Rey dan kini tampak sukar mengejar gelaran liga, kekalahan ketiga boleh menyaksikan musim Madrid akan berakhir dalam seminggu.
“Kami perlu membalas,” menurut pemain pertahanan, Dani Carvajal. “Ia mungkin menjadi minggu paling mencabar sepanjang saya berada di sini.”
Ajax berhak mendapat keputusan baik daripada kekalahan 2-1 di Amsterdam yang secara teorinya meletakkan lawan mereka memiliki kelebihan pada pertemuan kedua awal pagi Rabu ini.
Namun tiga kekalahan berturut-turut di Santiago Bernabeu buat pertama kali dalam 15 tahun bermakna Madrid mula merasai bahangnya. Begitu juga Solari, jurulatih yang diberikan kontrak hingga 2021 apabila dilantik hanya lima bulan lalu tetapi dia mungkin tidak dapat bertahan musim ini sekiranya Ajax melakukan sesuatu untuk mara ke suku akhir.
Kritikan Jose Mourinho selaku pengulas buat bEIN Sports mengenai Clasico terbaharu dilihat sebagai mengambil peluang tetapi secara realitinya dia masih dihormati di Real.
Tidak seperti pengganti berpotensi yang lain, dia boleh meneruskan tugas serta merta.
Bagaimanapun, Solari sedar Madrid sudah pernah melalui perkara seperti itu sebelum ini.
Musim lalu, skuad kendalian Zinedine Zidane tewas awal pada Copa del Rey dan juga kepada Leganes, tetapi bukan Barcelona. – AFP

































