Misi pengalian minyak Kemboja gagal – Hun Sen

PHNOM PENH, 1 OGOS – Perdana Menteri, Hun Sen menyatakan percubaan Kemboja dalam pengalian minyak berdepan ‘kegagalan’ hari ini, hanya lapan bulan setelah kerajaan mencapai kejayaan yang ditunggu-tunggu untuk menghasilkan minyak mentah pertamanya.

Pada akhir Disember lalu, negara itu mengumumkan telah mengali minyak di perairannya di Teluk Thailand yang menurut para pakar mempunyai simpanan yang besar.

Tetapi operasi itu, yang dipimpin oleh KrisEnergy Singapura, terancam bahaya setelah syarikat itu tidak dapat membayar hutangnya dan mengajukan pembubaran pada bulan Jun.

“Pada 29 Disember lalu, kami mengumumkan minyak pertama, tetapi sekarang ini ia mungkin adalah kegagalan,” kata Hun Sen, hari ini. KrisEnergy telah meramalkan kadar pengeluaran tertinggi sebanyak 7,500 tong sehari, jumlah yang sederhana berbanding dengan negara jiran pengeluar minyak Kemboja, Vietnam dan Thailand.

“Pada akhirnya, terdapat 1,000 tong yang dipam keluar sehari,” kata Hun Sen. “Dan sekarang syarikat itu muflis.”

Dia juga mendakwa bahawa KrisEnergy ‘melarikan diri dengan kapal tangki’.

“Kami tidak dapat menghalangnya, mereka melarikan diri dengan minyak,” kata perdana menteri itu, tanpa memberikan keterangan lebih lanjut.

AFP telah menghubungi KrisEnergy untuk mendapatkan komen.

Sebelum mengajukan pembubaran, KrisEnergy memegang 95 peratus saham dalam operasi itu, sementara kerajaan memegang selebihnya.

Pendapatan yang dijanjikan mungkin signifikan bagi negara miskin itu, yang menganggarkan pada tahun 2017 bahawa ia akan menghasilkan sekurang-kurangnya AS$500 juta royalti dan cukai dari fasa pertama projek. – AFP