Saturday, October 1, 2022
24.8 C
Brunei

Misi peribadi pertama sedia berlepas ke ISS

-

WASHINGTON, 8 APRIL – Misi peribadi sepenuhnya yang pertama ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bakal berlepas hari ini membawa empat kru dari syarikat baru ditubuhkan, Axiom Space.

Kerjasama itu mendapat pujian daripada NASA, yang menganggapnya sebagai langkah penting dalam matlamatnya untuk mengkomersialkan bidang angkasa yang dikenali sebagai ‘orbit Bumi rendah’, mendorong agensi itu menumpukan pada usaha yang bercita-cita tinggi untuk meneroka lebih mendalam alam semesta.

Waktu pelepasan telah ditetapkan pada 11:17 pagi dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida dengan roket SpaceX.

Misi Axiom-1 akan diketuai oleh bekas angkasawan NASA, Michael Lopez-Alegria, bersama dua warganegara Amerika Syarikat (AS) dan Sepanyol.

Dia disertai oleh tiga rakan kru yang membayar untuk menyertai misi: pelabur hartanah AS, Larry Connor; ahli perniagaan Kanada, Mark Pathy dan bekas juruterbang dan ahli peniagaan, Eytan Stibbe.

Kapal angkasa Axiom-1 yang bersiap sedia untuk berlepas di Pusat Angkasa Kennedy di Florida. – AFP

Harga tiket yang dilaporkan – termasuk lapan hari berada di stesen angkasa – berjumlah AS$55 juta.

Tetapi tidak seperti penerbangan yang menarik perhatian oleh Blue Origin dan Virgin Galatic, Axiom berkata misinya tidak dianggap sebagai pelancongan.

Semasa berada di ISS, yang mengelilingi orbit 400 kilometer dari atas paras laut, keempat-empat mereka akan melaksanakan projek penyelidikan saintifik, termasuk mengenai penuaan di angkasa, eksperimen dengan sel tunjang, dan demonstrasi teknologi kapal angkasa yang dipasang sendiri.

“Mereka bukan hanya pergi ke angkasa selama lapan hari untuk mengambil gambar,” kata Derek Hassmann, pengarah operasi Axiom Space, kepada wartawan pada taklimat pra pelepasan.

“Kami mempunyai rancangan sangat intensif dan berorientasikan penyelidikan untuk mereka.” – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China: Tiada siapa berhak guna veto nasib rakyat Palestin

BEIJING, 29 SEPT - China menegaskan tiada siapa berhak menggunakan kuasa veto masing-masing dalam isu-isu mengenai masa depan dan nasib rakyat Palestin, lapor agensi...
- Advertisment -