Misi program amal Mawi

Penyanyi dan penyampai radio, Mawi bakal menjayakan program amal, GoKelantan, November depan.

Kempen yang dikendalikan secara kerjasama Lembaga Pelancongan Kelantan dan Radio Zayan itu bakal menyaksikan Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, membersih dan memulihara seni bina masjid dan surau di negeri yang mendapat jolokan Serambi Mekah itu.

“Saya baru pulang dari Kelantan untuk membincangkan mengenai kempen berkenaan bersama Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim.

“Baginda berpuas hati dengan perjalanan kempen terbabit dan menyokong penuh usaha kami.

“Antara aktiviti yang bakal dianjurkan adalah membersih dan memulihara seni bina masjid bersejarah dan surau di seluruh negeri, selain melawat lokasi yang memiliki kisah keagamaan,” katanya kepada BH Online.

Mawi akan memulakan misi projek amal, GoKelantan yang antara lain membabitkan kerja membersih dan memulihara seni bina masjid dan surau di Kelantan, November depan. – Agensi

Mengulas pemilihan Kelantan sebagai destinasi kerja amal, penyanyi yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu memberitahu negeri itu memiliki nilai sentimental dalam kerjayanya.

“Menurut syarikat pengurusan saya, Maestro, selepas saya meninggalkan AF, Kelantan adalah negeri pertama yang mengundang saya mengadakan persembahan.

“Jadi, negeri ini menyimpan kenangan manis. Walaupun saya anak jati Johor, berbakti kepada negeri lain ini adalah bukti kita semuanya adalah satu.

“Malaysia itu adalah kita semua,” ujar suami kepada pelakon Ekin ini.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Aduh! Saliha ini, program amal terbabit akan dirakamkan dalam bentuk travelog untuk disiarkan di YouTube dan televisyen (TV). – Agensi