Misi roket Vega gagal

KOUROU, 11 JULAI – Misi sebuah roket yang membawa satelit untuk Emiriah Arab Bersatu gagal sejurus selepas berlepas dari Guiana Perancis pada malam kelmarin, menurut syarikat pelancaran Arianespace.

“Kira-kira dua minit selepas pelepasan itu, satu anomaly utama berlaku, menyebabkan misi tersebut tidak berjaya,” kata Luce Fabreguettes, pengarah operasi di Kourou, di pantai utara wilayah Perancis di Amerika Selatan.

Ia adalah kegagalan pertama selepas 14 pelancaran Vega yang berjaya, sejak operasi bermula di Pusat Angkasa Guiana pada tahun 2012.

“Bagi pihak Arianespace, saya ingin memohon maaf atas pelanggan kami kerana kehilangan kargo mereka,” tambah Fabreguettes. – AFP