Misi selamat spesies katak terancam

MERIDA, VENEZUELA – Jangkaan besar bergantung pada haiwan jenis amfibia kecil terancam yang hinggap di atas batu dalam kotak plastik: Katak Mucuchies perlu menghasilkan anak jika spesiesnya ingin terus hidup.

Makhluk berwarna gelap dan berbintik-bintik tersebut dikategorikan sebagai haiwan yang secara kritikal terancam termasuk dalam spesies Senarai Merah terancam Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), ia adalah langkah terakhir sebelum haiwan tersebut boleh diisytiharkan pupus di alam liar.

Tetapi ada sebab untuk berharap.

Didorong oleh keghairahan untuk menyelamatkan makhluk sederhana berukuran dua sentimeter itu, ahli biologi, Enrique La Marca dan satu pasukan telah melancarkan projek pembiakan di pusat pemuliharaan amfibia REVA di Merida di barat laut Venezuela.

Sehingga kini, kira-kira puluhan induk yang ditangkap telah membiakkan sekitar 100 ekor berudu yang dilepaskan ke alam semula jadi, kata La Marca dan beliau menambah bahawa lebih kurang jumlah katak Mucuchies semakin berganda seperti yang diketahui sebelum ini di alam liar.

Enrique La Marca memerhati dengan kanta pembesar butiran pada spesimen katak Mucuchies (Aromobates zippeli), sebelum dibawa ke makmal untuk pembiakan di Merida, Venezuela. – AFP
Enrique La Marca bekerjasama dengan Reinol Martinez semasa dalam pencarian spesies terancam berkenaan untuk dibawa ke makmal mereka. – AFP

Katak Mucuchies atau nama saintifiknya ialah Aromobates zippeli adalah salah satu spesies terancam termasuk dalam senarai merah yang dikeluarkan oleh IUCN. – AFP
Enrique La Marca menunjukkan spesies katak terancam yang hampir diisytiharkan pupus. – AFP

Perkara berkenaan sepatunya membantu spesies tersebut, yang menurut Senarai Merah, telah menyaksikan sebanyak 98 peratus habitatnya di hutan Andes Venezuela hilang akibat penebangan hutan.

Pada masa kini, seluruh populasi spesies tersebut hanya terhad kepada kawasan yang lebih kecil daripada 10 kilometer persegi.

Aliran sungai yang mengering

“Kebanyakan daripada populasi haiwan berkenaan hilang antara 15 dan 25 tahun yang lalu” dari kawasan sekitar wilayah Mucuchies yang dahulunya banyak, kata La Marca.

Menurut IUCN, faktor utama yang menyebabkannya pupus ialah tanam-tanaman dan akuakultur yang mence-roboh wilayah alam semula jadi dan mencemarkan sumber air, serta pengabstrakan permukaan air untuk pengairan.

“Terdapat aliran yang telah kering dan mata air yang telah berkurangan dengan ketara. Semua ini memberi kesan negatif kepada organisma yang dikaitkan secara langsung dengan air,” kata La Marca kepada AFP.

Katak Mucuchies ialah spesies yang membiak semasa musim hujan, bertelur di atas daun-daun mati.

Sementara itu, katak jantan akan melindungi telur sehingga menetas, kemudian membawa berudu di belakangnya dan melepaskannya ke dalam kolam kecil di mana ia akan melengkapkan proses tumbesarannya sehingga menjadi katak dewasa.

Lagu katak, ‘Kegembiraan terhebat’

Tetapi sebelum projek REVA bermula pada tahun 2018, “kami tidak tahu apa yang katak makan, seperti apa pembiakannya, kami melakukan improvisasi dan belajar dengan cepat,” kata La Marca.

Sejak itu, mereka telah memastikan bahawa untuk menyediakan suasana yang diperlukan kerana katak memerlukan taburan tumbuh-tumbuhan seperti bromelias, batu dan daun untuk bermain-main, dengan adanya bunyi-bunyi yang indah daripada aliran sungai dan pemakanan diet yang stabil seperti serangga dan larva.

Oleh itu, anak-anak haiwan yang terhasil akan dibesarkan di makmal selama lebih kurang setahun selepas membuat peralihan daripada berudu kepada katak berkaki empat sebelum ia dilepaskan ke alam liar.

Kemudian muncul pula cabaran sukar, menurut La Marca: “Untuk bertahan dalam keadaan semula jadi baharu yang akan haiwan berkenaan hadapi.”

Pada lawatan lapangan yang kerap dilakukan, pasukan mencari katak di antara batu-batu atau di tebing sungai, tetapi sukar untuk menjejaki semua induk binatang yang ‘malu’.

“Kegembiraan terhebat tiba apabila kami mendapati terdapat lebih banyak bunyi katak menguak di tempat tersebut, ia adalah satu petunjuk yang ia sedang membiak,” kata La Marca. – AFP