Misi terakhir generasi emas Sepanyol

MADRID, 13 Jun – Selepas bergelut dalam beberapa kejohanan utama kebelakangan ini, saki baki generasi emas Sepanyol mungkin berdepan peluang terakhir di Piala Dunia Rusia.

Memenangi dua kejuaraan Euro dan satu Piala Dunia, Sepanyol menjadi pasukan dominan bermula 2008 hingga 2012.

Tetapi mereka mula merosot pada Piala Dunia 2014, gagal melepasi peringkat kumpulan dan disingkirkan pada peringkat 16 pasukan terakhir semasa Euro 2016. Terdapat kecurigaan mengenai kemampuan Julen Lopetegui untuk membantu Sepanyol melayakkan skuad itu ke Piala Dunia tahun ini namun Sepanyol berjaya mara dari kumpulan yang juga termasuk Itali.

Lopetegui berjaya mengabungkan bakat meningkat naik dengan pengalaman yang ada dalam skuad untuk layak bagi penyertaan ke-11 Piala Dunia berturut-turut.

Jurulatih

Lopetegui telah dipilih sebagai pengganti Vicente Del Bosque pada tahun 2016 selepas memenangi kejuaraan bersama pasukan bawah-19 dan 21 tahun dalam Kejuaraan Eropah.

Namun pengalaman kejurulatihannya di peringkat tertinggi hanya terhad kepada musim buruk bersama Porto.

Para pengkritik yang mempersoalkan kemampuan Lopetegui terdiam selepas jurulatih itu menerajui Sepanyol dengan 20 perlawanna tanpa kalah.

Penjaga gol

Gesaan untuk menyenaraikan Iker Casillas dengan pantas hilang apabila David de Gea beraksi hebat bersama Manchester United dan pasukan kebangsaan.

Casillas telah digugurkan ke bangku simpanan buat pertama kali semasa Euro 2016 dan tidak disenaraikan dalam skuad ke Rusia.

Lopetegui menyenaraikan Kepa Arrizabalaga (Athletic Bilbao) dan Pepe Reina (Napoli) sebagai pengganti De Gea.

Barisan pertahanan

Ini kemungkinan besar Piala Dunia terakhir buat Sergio Ramos dan Gerard Pique, yang mana gandingan ini telah meraih banyak kejayaan dalam kejohanan besar.

Pique, 31, merancang untuk bersara dari pasukan kebangsaan selepas Piala Dunia, dan terdapat kemungkinan Ramos, 32, juga akan menyertainya ke arah persaraan.

Mereka sudah berganding bersama di bahagian pertahanan sejak Piala Dunia 2010, ketika Ramos bermain di bek kanan.

Melengkapkan barisan pertahanan adalah Jordi Alba di bek kiri dan Dani Carvajal pada sebelah kanan.

Barisan tengah

Andres Iniesta akan berusia 34 tahun apabila Piala Dunia bermula dan ia kemungkinan besar menandakan kejohanan perpisahan buat pemain perancang genius itu di peringkat antarabangsa.

Dengan hantaran bijak dan kawalan bola yang kemas, Iniesta berterusan mengawal bahagian tengah seperti yang dilakukannya dalam tiga kejuaraan yang mereka menangi. Hanya keadaan fizikalnya menjadi kebimbangan apabila usianya sudah meningkat.

Barisan penyerang

Lopetegui ragu dengan kebolehan para penyerangnya, memanggil 10 pemain berbeza bagi posisi itu dalam tempoh dua tahun.

Diego Costa (Atletico Madrid), Iago Aspas (Celta Vigo) dan Rodrigo (Valencia) tersenarai dalam skuad akhir 23 pemain, sementara penyerang Chelsea, Alvaro Morata diketepikan.

Jose Callejon (Napolo) dan Victor ‘Vitolo’ Machin (Atletico Madrid) juga gagal ke Rusia.

Kumpulan B

Sepanyol akan membuka kempen Piala Dunia mereka menentang juara Eropah, Portugal pada 16 Jun. Pasukan itu kemudian akan berdepan dengan Iran pada 21 Jun dan menamatkan peringkat kumpulan pada 26 Jun menentang Maghribi. – AP