Misi tingkatkan hubungan dua hala, ekonomi

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan selama tiga hari ke negara-negara di Amerika Selatan minggu depan.

Misi itu meliputi Santiago, Chile (20 Mei), Buenos Aires, Argentina (21 Mei) serta Brasilia dan Sao Paulo, Brazil (22 hingga 24 Mei).

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata Leiking akan disertai oleh pegawai kementerian, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Institut Automotif, Robotik & IoT Malaysia serta wakil syarikat-syarikat Malaysia.

Sambil memanfaatkan kehadirannya di rantau ini pada Mesyuarat Menteri-Menteri APEC yang Bertanggungjawab bagi Perdagangan di Valparaiso, Chile, dari 17 hingga 18 Mei, Leiking akan bertemu wakil kerajaan, dewan perniagaan dan persatuan serta syarikat di Chile, Argentina dan Brazil, bagi meningkatkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala dengan negara-negara berkenaan.

MITI berkata pelbagai perbincangan, termasuk pertemuan perniagaan bersemuka dengan tokoh industri terpilih, bagi mempromosi peluang-peluang perniagaan dan pelaburan di Malaysia dalam sektor berpotensi seperti automotif, runcit, perabot, sarung tangan getah, halal, teknologi maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan.

Di Brasilia, Leiking dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, serta kunjungan hormat ke Naib Presiden Argentina Marta Gabriela Michetti di Buenos Aires untuk perbincangan lanjut selepas pertemuan mereka di Kuala Lumpur pada 6 Mei.

Pada 2018, dagangan dua hala antara Malaysia dan Chile berjumlah RM1.32 bilion, kata MITI. Eksport Malaysia ke Chile berjumlah RM810 juta manakala import bernilai RM510 juta. – Bernama