Misi ‘treble’ terlaksana

KUALA LUMPUR, 23 FEB – Dua gol pantas dalam tempoh seminit menyaksikan pasukan hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) meraih gelaran ‘treble’ musim ini selepas menundukkan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 2-1 pada saingan akhir Piala TNB 2020, di sini, malam ini.

Keputusan itu menutup musim yang cemerlang kepada jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, selepas mengekalkan rekod tanpa kalah serta menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL).

“Ini adalah kenangan paling manis untuk menang tiga piala serta mengekalkan rekod bersih musim ini. Tahun depan, kita perlu buat persiapan awal untuk meningkatkan prestasi.

“Semua tahu nak memang lebih mudah dari nak pertahankan kejuaraan. Namun secara keseluruhan saya rasa pasukan UniKL telah bermain dengan baik sepanjang musim,” kata Arul selepas perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini. – Bernama