Misi Wuhan berjaya, 133 orang tiba di KLIA

KUALA LUMPUR, 4 FEB – Misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China yang dilanda wabak koronavirus novel berjaya dengan 133 orang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi ini.

Pesawat AirAsia, yang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan kerajaan Malaysia, membawa pulang 107 individu yang terkandas di wilayah Hubei, terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi adalah pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara.

Turut serta dalam penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe adalah enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, lapan petugas misi dan 12 kru penerbangan. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kesemua mereka dari Wuhan itu, dibenarkan menaiki pesawat setelah melepasi tapisan kesihatan oleh kerajaan China. “Sebaik mendarat di KLIA, mereka dibawa menaiki bas ke Air Disaster Unit (Unit Kecemasan Udara) (ADU) untuk melalui tapisan kesihatan.

Daripada 107 yang dibawa pulang dari Wuhan, dua orang tidak melepasi tapisan kesihatan itu, dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan hari ini. Dr Wan Azizah, yang merupakan Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara, berkata setelah selesai tapisan kesihatan di ADU, 105 orang dibawa menaiki bas ke Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Kelmarin, pesawat khas AK8264 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk melaksanakan misi HADR dan turut membawa 500,000 pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China, untuk membantu menangani penularan koronavirus di negara itu. – Bernama