Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misteri Goa Jepang gamit pelancong

    HUJAN lebat dan langit yang dihiasi awan berwarna biru bertukar menjadi kelabu, sekali gus waktu siang pada hari itu seolah-olah seperti menjelang malam. Disebabkan sekumpulan pelancong yang mengikuti rombongan ke Kota Karang Panas, Kabupaten Biak Numfor, wilayah Papua berada di sana untuk sehari sahaja, mereka tetap menggagahkan diri menuju ke Goa Jepang yang terletak di Kampung Ambroben.

    Ketika memasuki kawasan kampung pelancongan itu, suasananya sunyi sepi kerana tiada sesiapa pun yang melalui jalan tersebut. Hanya terdapat beberapa buah kenderaan empat roda yang sesekali melalui kawasan tersebut dan memecah kesunyian.

    Rombongan kemudiannya menuju ke sebuah rumah yang mempunyai sepanduk tertulis ‘bilik maklumat’ sebelum dihampiri oleh seorang lelaki berusia sekitar 50 tahun.

    Ketika bertentang mata, tiada senyuman dilemparkan oleh lelaki bertopi hitam dan berkaki ayam itu kepada peserta rombongan. Lelaki tersebut sebenarnya ialah Penghulu Kampung Wisata Goa Jepang Binsari, Yusuf Rumaropen.

    Ketika diminta untuk menerangkan kepada rombongan mengenai Goa Jepang, Yusuf tidak mengambil masa yang lama untuk berbuat demikian. Waktu terus berjalan, namun hujan masih tidak berhenti. Akhirnya beberapa ahli rombongan memilih untuk pergi ke gua berkenaan manakala selebihnya memilih untuk tinggal di bilik maklumat itu.

    Gua Jepang hanya terletak di belakang rumah pengurus dan untuk memasukinya, peserta rombongan perlu menuruni tangga serta melalui jambatan.

    Gua tersebut hanya terletak di belakang rumah pengurus itu dan untuk memasukinya, peserta rombongan perlu menuruni tangga serta melalui jambatan. Keadaan jalan yang basah akibat hujan menyebabkan jambatan tersebut sangat licin, malah suasana gelap menyebabkan perjalanan tersebut semakin menyeramkan.

    Beberapa ahli rombongan yang mahu memasuki gua tersebut terpaksa membatalkan niat mereka pada saat-saat akhir kerana tidak membawa lampu suluh untuk menerangi jalan. Bagaimanapun, terdapat dua orang daripada mereka yang menjadikan aplikasi lampu suluh pada telefon bimbit sebagai alat.

    Selepas lima minit, dua ahli rombongan tersebut juga membatalkan hasrat mereka untuk meneroka gua berkenaan ekoran keadaan di dalamnya yang terlampau gelap. Disebabkan hujan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti, akhirnya rombongan pelancong berkenaan membuat keputusan untuk melihat barang-barang peninggalan Perang Dunia Kedua yang disimpan di dalam almari kaca milik pengurus kawasan tersebut.

    Sebahagian barangan seperti botol kaca, alat makan dan keledar tentera serta kelongsong peluru disusun di rak-rak kayu dan dibiarkan begitu sahaja.

    Menurut Yusuf, nama Kampung Wisata Goa Jepang Binsari diambil daripada nama gua Abiab Binsari yang dikenali oleh masyarakat setempat sejak sebelum Perang Dunia Kedua. “Gua Binsari ini dahulunya digunakan oleh masyarakat setempat kerana terdapat sumber air dan menurut kepercayaan mereka, ia dihuni oleh seorang nenek tua,” katanya.

    Gua tersebut disebut sebagai Binsari yang bermaksud perempuan dan Sar pula membawa makna tua. Menurut cerita penduduk, kelibat nenek itu kadangkala kelihatan namun ada masanya pula tidak.

    “Ada ketikanya terdengar bunyi tembakan atau teriakan tentera di dalam gua tersebut. Suaranya sangat jelas dan sering kedengaran namun kini bunyi tersebut jarang-jarang didengari,” cerita Yusuf yang juga Ketua Kampung Ambroben.

    Suara aneh

    Kedudukan Gua Binsari terletak di tempat tinggi. Keadaan ini membolehkan pemantauan di kawasan daerah pantai dan laut dilakukan sehingga menyebabkan kampung tersebut menjadi pusat logistik tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua. Ketika itu terdapat kira-kira 3,000 tentera Jepun yang menjadikan Gua Binsari sebagai markas.

    Keadaan jalan yang basah akibat hujan menyebabkan jambatan tersebut sangat licin, malah suasana gelap menyebabkan perjalanan tersebut semakin menyeramkan.

    Bagaimanapun, apabila Amerika Syarikat mengetahui kawasan tersebut menjadi pusat logistik Jepun, mereka menggugurkan bom ke kawasan berkenaan pada 7 Jun 1944. “Binsari memiliki nilai sejarah yang tinggi. Peninggalan Perang Dunia Kedua di daerah ini menjadikannya sering dikunjungi pelancong tempatan dan asing. Akhirnya nama Binsari itu ditambah menjadi Kampung Wisata Goa Jepang Bisari,” kata Yusuf.

    Suara-suara aneh yang diceritakannya itu pernah didengari oleh salah seorang pengunjung, Nandus Kurni. “Ketika itu saya sampai dulu di gua tersebut kerana ahli rombongan yang lain sibuk mengambil gambar dan melihat barang-barang peninggalan. Tiba-tiba saya terdengar seperti suara orang menangis dan bunyinya sangat jelas,” katanya.

    Menurut pegawai pemerintah daerah berkenaan, bunyi yang didengarnya itu seperti suara orang sedang merintih kesakitan. Pengalaman mistik itu juga menjadi salah satu keunikan di kawasan yang dahulunya pernah menjadi lokasi penemuan tulang tentera Jepun. Sehubungan itu dipercayai, Yusuf berharap lokasi bersejarah itu dapat menjadi sumber Pendapatan Asli Daerah (PAD) yang baharu bagi pihak pemerintah Kabupaten Biak Numfor.

    Katanya, kawasan tersebut berpotensi menjadi sumber PAD jika dikelola dengan baik. “Kira-kira 100 pengunjung yang kebanyakannya pelancong asing melawat gua berkenaan dalam tempoh sebulan,” ujarnya. Beliau memberitahu, sebanyak 97 pelancong asing berkunjung ke Kampung Wisata Goa Jepang Binsari sewaktu sebuah kapal MS Eropah berlabuh di Jayapura baru-baru ini.

    Promosi

    Yusuf berkata, pihaknya menggunakan wang hasil bayaran masuk ke gua berkenaan untuk membiayai kos pengurusan dan memelihara barang-barang peninggalan sejarah.

    Sementara itu, Pejabat Pelancongan Kabupaten Biak Numfor merancang untuk bekerjasama dengan pihak pengurusan PT Angkasa Pura 1 Lapangan Terbang Frans Kaisiepo untuk terlibat secara langsung dalam mempromosikan destinasi tersebut. “Selain itu, ia juga melibatkan organisasi pelancongan antarabangsa dan pemain industri pelancongan daerah ini,” katanya.

    Kerjasama pihak pemerintah tempatan dalam mempromosikan agenda pelancongan Biak Numfor dijangka dapat menarik pelancong asing untuk melawat kawasan berkenaan.

    Selain kampung itu, terdapat beberapa lokasi menarik lain di Biak Numfor antaranya Pantai Batu Picah Biak Utara, Monumen Perang Dunia Kedua dan air terjun wafsarak. Gua yang terletak di wilayah Papua menyimpan seribu sejarah hasil tinggalan tentera Jepun selepas Perang Dunia Kedua. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda