Misteri kehilangan penduduk Limetown

Ulasan siri TV oleh Zulkamal Haji Kamis

Drama terbaharu dari Amerika Syarikat ini agak berbeza dengan drama-drama yang lain kerana drama ini tidak disiarkan di mana-mana saluran terkenal negara itu namun ia disiarkan melalui saluran Internet terkenal, Facebook Watch, saluran yang boleh dikatakan masih baharu di mana ia baru sahaja dilancarkan dua tahun yang lalu.

Drama tersebut ialah Limetown di mana drama berkonsepkan konflik dalaman, keluarga dan isu persekitaran ini berdasarkan kepada sebuah drama podcast, Limetown yang dihasilkan oleh Zack Akers dan Skip Bronkie. Disebabkan oleh kecemerlangan drama tersebut, ia telah diperbaharui dan menonjolkan lagi kronologi drama berkenaan.

Limetown diterbitkan oleh Jessica Biel dengan kerjasama Michelle Purple, Zack Akers, Skip Bronkie dan banyak lagi. Selain berperanan sebagai penerbit, Jessica Biel juga berperanan penting sebagai pelakon utama dalam drama hebat ini. Limetown baru sahaja disiarkan pada 16 Oktober lalu.

Kronologi ringkas

Drama Limetown ini mengisahkan mengenai seorang wartawan yang bernama Lia Haddock. Lia merupakan seorang wartawan yang bekerja di bawah syarikat American Public Radio (APR) di mana pada satu hari, dia telah menemui sesuatu yang misteri di sebalik kehilangan 300 individu di Fasiliti Neuro Sains, di pedalaman Tennessee.

Berikutan penemuannya itu, Lia berdepan pelbagai cabaran dalam usahanya untuk mencari jawapan terhadap kehilangan individu-individu tersebut di mana seorang pun tidak tahu bagaimana ia terjadi.

Lia tetap meneruskan penyelidikan dan penyiasatan di mana misteri kehilangan individu tersebut tidak meninggalkan apa-apa bahan bukti, saksi malah tidak ada seorang pun yang tampil untuk memberikan keterangan terhadap kehilangan penduduk di kawasan tersebut. Apakah yang terjadi kepada mereka yang hilang itu, adakah Lia mampu merungkai misteri di sebalik kehilangan mereka.

Anda boleh saksikan perjalanan kisah Lia dalam merungkai misteri tersebut dalam drama bersiri Limetown yang disiarkan dalam saluran Facebook Watch.

Apakah yang terjadi kepada mereka yang hilang itu, adakah Lia mampu merungkai misteri di sebalik kehilangan mereka.