Misteri kematian kerbau terungkai

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Sekawan kerbau ditemui mati dalam kawasan kolam air berlumpur di Kampung Katimahar, kelmarin, adalah berpunca daripada lemas.

Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dalam kenyataannya, hari ini, menyatakan bahawa jabatan berkenaan melalui Bahagian Industri Ternakan dan Perkhidmatan Veterinar telah membuat lawatan dan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian di kawasan berkenaan susulan gambar mengenai kematian kerbau-kerbau itu tular di media sosial.

Hasil siasatan awal mendapati bahawa ternakan kerbau-kerbau tersebut tidak mengalami sebarang tanda-tanda keracunan atau penyakit berjangkit.

Kenyataan menjelaskan, sekumpulan kerbau tersebut kemungkinan terperangkap di dalam kolam air berlumpur berkenaan yang mempunyai kedalaman lebih tujuh kaki.

Hujan lebat yang turun sejak beberapa hari kebelakangan berkemungkinan telah menyebabkan paras air meningkat di dalam kolam berkenaan dan dengan struktur tebing kolam yang tinggi telah menyukarkan kerbau-kerbau yang telah berada dalam kolam berkenaan untuk naik ke darat sehingga terperangkap dan mati lemas.

Bagi meringankan beban pemilik kerbau-kerbau itu, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dengan kerjasama penduduk kampung membantu mengalihkan bangkai-bangkai kerbau ke kawasan berhampiran untuk ditanam.

Hadir bagi meninjau operasi penanaman bangkai-bangkai kerbau berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong serta Pemangku Ketua Kampung Katimahar, Haji Bujang bin Abdul Ghani dan beberapa orang penduduk kampung.

Kejadian tersebut turut dilaporkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei untuk menjalankan siasatan lanjut.

Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Pemangku Ketua Kampung Katimahar serta beberapa orang penduduk kampung ketika meninjau kerja-kerja pembersihan dan menanam kerbau mati di kampung tersebut.
Pegawai memeriksa bangkai kerbau bagi mengenalpasti punca kematiannya.