Misteri sindrom ‘Havana’ jejas diplomat AS

WASHINGTON, 26 OGOS – Pegawai Amerika Syarikat (AS) yakin penyakit misteri menimpa diplomat negara yang dikenali sebagai ‘sindrom Havana’ dan menyebabkan sakit kepala teruk, mual dan kemungkinan kerosakan otak adalah disebabkan serangan menggunakan alat elektronik.

Selasa lalu, jadual lawatan Naib Presiden AS, Kamala Harris ditangguhkan selama beberapa jam selepas kedutaan AS di Hanoi melaporkan kemungkinan berlaku insiden tidak diingini.

Ia berikutan kebimbangan pemimpin itu menjadi sasaran, selepas laporan mengatakan diplomat AS di ibu negara Vietnam itu mungkin mengalami penyakit misteri dipanggil sindrom ‘Havana’.

Bagaimanapun, Harris kemudian meneruskan lawatannya ke Hanoi dan Jabatan Negara AS memberitahu pihaknya sedang menyiasat kes yang disifatkan sebagai ‘insiden kesihatan yang tidak normal’ atau AHI.

Ia adalah kes terbaharu daripada puluhan kes dilaporkan diplomat dan pegawai perisik AS sejak 2016 yang pertama kali berlaku di Cuba, kemudian di China, Jerman, Australia, Taiwan dan Washington. – AFP

Naib Presiden AS Kamala Harris mengadakan sidang media sebelum berlepas dari Vietnam ke Amerika Syarikat selepas lawatan rasminya ke Asia di Hanoi, Vietnam, kelmarin. – AP