Misteri ‘Telaga Neraka’

AL-MAHRA, YAMAN, 21 JUN – Diselubungi misteri dan kisah hantu, Telaga Barhout di kawasan timur Yaman – dikenali sebagai ‘Telaga Neraka’ – merupakan keajaiban semula jadi yang tidak diketahui.

Terletak lebih dekat dengan sempadan Oman berbanding ibu negara Sanaa kira-kira 1,300 kilometer jauhnya, lubang gergasi di padang pasir wilayah Al-Mahra itu mempunyai saiz 30 meter lebar dan 100 dan 250 meter dalam.

Penduduk tempatan berkata ia diwujudkan sebagai penjara untuk syaitan – reputasi yang diperkukuhkan oleh bau busuk yang keluar daripada bahagian dalamnya.

Pegawai Yaman berkata mereka tidak tahu apa yang ada di dalam lubang itu.

“Ia amat dalam, kami tidak pernah sampai ke dasar telaga ini kerana tidak adanya oksigen dan pengudaraan,” kata Salah Babhair, pengarah kajian geologi dan pihak berkuasa sumber galian Mahra.

“Kami pernah mengunjungi kawasan itu dan memasuki telaga, mencecah lebih 50-60 meter ke dalam. Kami mendapati perkara ganjil di dalam. Kami juga terhidu sesuatu yang pelik..Ia adalah situasi bermisteri.”

Babhair berkata telaga itu berusia ‘berjuta-juta’ tahun. “Tempat berkenaan memerlukan lebih banyak kajian, penyelidikan dan siasatan,” katanya.

Ramai penduduk tempatan masih keberatan untuk melawat lubang besar itu atau bercakap mengenainya, khuatir ditimpa nasib malang daripada lubang yang menurut legenda, mengancam kehidupan di Bumi itu sendiri. – AFP

Pemandangan udara menunjukkan Telaga Barhout, dikenali sebagai ‘Telaga Neraka’ di padang pasir wilayah Al-Mahra di Yaman. – AFP