SERIA, 2003 – Penduduk sekitar Pantai Lumut gempar dengan penemuan tulang rangka bahagian belakang “haiwan yang bersaiz besar dan panjang” oleh beberapa orang pengawal keselamatan kawasan Loji BLNG.
Mereka pada mulanya terhidu bau busuk dari arah pantai itu dan setelah menyiasat, mereka terkejut menemui rangka tulang belakang “haiwan besar itu.”
Pengawal keselamatan terbabit yang enggan disiarkan namanya memberitahu Media Permata, beliau dan seorang rakan sekerjanya sedang membuat rondaan mengelilingi luar kawasan Loji BLNG apabila tiba-tiba terhidu bau yang amat busuk ketika melintas kawasan kira-kira sejauh 500 meter dari BLNG.
Mereka lantas masuk ke jalan pantai untuk melihat apa yang berbau busuk itu dan sebaik saja tiba ke satu kawasan kira-kira sejauh 30 meter dari pantai, mereka terlihat rangka tulang yang separuh tertimbus pasir terletak berdekatan beberapa batang pokok kering yang dibawa arus naik ke daratan.
Rangka itu yang berukuran kira-kira enam meter panjang dipercayai tulang sejenis ikan besar yang kemungkinan mati dan terdampar ke tepi pantai. Pada tulang rangka itu masih terdapat cebisan daging. Bagaimanapun tidak terdapat rangka kepala daripada binatang itu.
Mereka berkata terdapat juga kesan-kesan kemungkinan sebahagian daripada rangka itu sudah diambil oleh mereka yang lebih awal menemuinya dan melihat daripada keadaannya, mungkin haiwan itu sudah terdampar lebih dua minggu di situ.
Seorang lagi lelaki yang turut berada di kawasan itu menyatakan rangka tulang haiwan itu memang baik untuk dijadikan kepala pemegang parang. Tulang-tulang itu juga cantik untuk dijadikan hiasan dalam rumah dengan menjemur kemudian menggilapnya sebelum mencelup dengan warna.