Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    MITI imbang pelaburan luar

    KUALA LUMPUR, 23 Okt – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini menegaskan, pelaburan luar yang dibawa masuk ke negara ini akan dibahagikan sama rata antara tiga wilayah iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

    Menterinya, Datuk Darrell Leiking, berkata MITI menyelaraskan potensi pelaburan yang dibawa oleh kerajaan dengan seimbang ke tiga wilayah terbabit.

    “Ada sebuah syarikat yang mempunyai potensi besar untuk melabur di Sabah dan kita berunding dengan Sabah Electricity Sdn Bhd bagi mendapatkan kadar tarif terbaik untuk mereka melabur di sana,” katanya di Dewan Rakyat.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu) mengenai usaha MITI dalam menyeimbangkan pelaburan antara wilayah supaya Sabah dan Sarawak tidak dipinggirkan.

    Darrell menambah, banyak potensi pelaburan sudah membuat komitmen pelaburan di Semenanjung Malaysia.

    “Dalam misi baru-baru ini, terdapat beberapa syarikat yang akan melabur di Semenanjung Malaysia dalam sektor petrokimia, elektrik dan eletronik serta perubatan.

    “Ini amat menarik, kerana kebanyakan pelaburan kali ini adalah dari syarikat yang besar di dunia termasuk syarikat yang menghasilkan mekanisme untuk jantung (stand mechanism for the heart),” tambahnya.

    MITI mengadakan Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan ke Jepun dan Korea Selatan dari 14 hingga 21 Oktober lalu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda