Mitsubishi Eclipse Cross tampil lebih bergaya

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Model baharu Mitsubishi Eclipse Cross secara rasmi memasuki pasaran Brunei dengan majlis pelancaran yang disiarkan secara langsung dari Bilik Pameran Mitsubishi, Beribi, hari ini.

Majlis yang diadakan oleh GHK Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal Mitsubishi Motor di Brunei Darussalam itu dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang penuh dengan mengikuti garis panduan Kementerian Kesihatan.

Eclipse Cross adalah kenderaan SUV compact coupe yang dibangunkan dengan penampilan SUV sportif baharu yang bergaya, berkeyakinan dan lebih selesa.

Bahagian depannya mengetengahkan konsep reka bentuk Dynamic Shield khas Mitsubishi yang berevolusi, menunjukkan kekuatan dan keselamatan. Pelindung bampar depan baharu dan susun atur cahaya baharu melengkapkan reka bentuk depan dengan penampilan yang berani dan dinamik.

Rekaan semula telah menambah ruang bagasi menjadi 405 liter dengan tempat duduk belakang dapat dilipat 60:40.

Mitsubishi Eclipse Cross baharu yang dilancarkan di Bilik Pameran Mitsubishi, semalam. – Gambar serahan GHK Motors

Eclipse Cross terbaharu ini dilengkapi dengan kawalan stereng audio dan skrin sesentuh infotainment dengan akses CD, USB dan keserasian Bluetooth.

Model ini boleh didapati dalam lima warna iaitu Titanium Grey Metallic, Sterling Silver Metallic, Bronze Metallic, Black Mica, dan White Solid.

Dibawa daripada model sebelumnya, Eclipse Cross terkini berkenaan dikuasakan enjin petrol empat silinder turbocharged MIVEC 2.0L.

Dengan menggunakan pengecas turbo kompak, ia mengurangkan penggunaan bahan bakar serta meminimumkan turbo lag untuk rasa dan prestasi yang berpusat pada pemandu, sementara kombinasi injeksi bahan bakar langsung dan pengecas turbo memberikan kecekapan yang lebih tinggi di semua jalan dan kelajuan mesin.

Mitsubishi Eclipse Cross baharu memperoleh lima bintang dalam penilaian keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Ciri-ciri keselamatan merangkumi tujuh beg udara SRS, kamera under, sistem immobilizer untuk meningkatkan keselamatan kereta daripada kecurian dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) standard dengan Electronic Brake Force Distribution (EBD).

Ciri-ciri keselamatan tali pinggang keledar telah diperbaiki dengan tali pinggang keledar pra-ketegangan dengan pembatas kekuatan yang dirancang untuk mundur seketika semasa perlanggaran depan, sehingga membatasi kecederaan pada pemandu dan penumpang.

Sempena pelancaran berkenaan, para pelanggan berpeluang mendapatkan baucar membeli-belah apabila membeli Eclipse Cross terbaharu berkenaan.