Mitsubishi Electric sasaran serangan siber

MOSCOW, 20 JAN – Gergasi elektronik Jepun, Mitsubishi Electric, hari ini berkata ia telah menjadi sasaran serangan siber yang mungkin menjejaskan data berhubung agensi-agensi kerajaan dan rakan kongsi perniagaan lain, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik laporan media negara matahari terbit itu.

Menurut agensi berita Kyodo, Mitsubishi mendedahkan bahawa pertukaran e-mel dengan agensi-agensi pertahanan Jepun dan Pihak Berkuasa Peraturan Nuklear mungkin telah dibocorkan akibat serangan itu pada Jun tahun lepas.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata tiada maklumat yang amat sensitif dibocorkan. Sekumpulan penjenayah siber China adalah suspek utama yang disyaki melakukan serangan itu, menurut Kyodo.

Agensi itu turut memetik Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga sebagai berkata kerajaan telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan memberi jaminan bahawa tiada maklumat teknologi pertahanan yang amat sensitif terjejas. – Bernama