TOKYO, 23 Jan – Mitsubishi Heavy Industries berkata hari ini ia akan menangguhkan penyerahan jet serantau yang lama dinanti-nantikan selama dua tahun, menandakan penangguhan terbaru untuk kapal terbang yang dibelenggu masalah itu.
Ia adalah kali kelima syarikat telah menangguh pengeluaran komersial Jet Serantau Mitsubishi (MRJ), kapal terbang penumpang yang pertama dihasilkan di Jepun selama setengah abad.
Keputusan untuk menangguh penyerahan kepada pertengahan 2020 daripada pertengahan 2018 diambil selepas laporan media tempatan berkata kapal terbang memerlukan lebih banyak perubahan reka bentuk untuk memastikan ia selamat.
Masalah tersebut dikaitkan dengan lokasi peralatan elektronik tertentu, lapor akhbar perniagaan Nikkei dan media Jepun lain.
Syarikat berkata ia sedang mengubahsuai reka bentuk ‘tatarajah elektrik’ untuk memenuhi standard keselamatan terbaru.
Namun “kami yakin mengenai keselamatannya,” beritahu presiden syarikat Shunichi Miyanaga pada satu taklimat akhbar di Tokyo.
Pembangunan MRJ telah mengalami beberapa siri penangguhan, sebahagiannya disebabkan peningkatan perisian dan perubahan reka bentuk lain.
Pelan asal apabila program tersebut bermula pada 2008 adalah penyerahan pelanggan pertama akan bermula pada 2013. – AFP