MK malu berlakon di sisi Mira

Penyanyi rap yang juga anggota kumpulan K-Clique, MK, 25, kini melangkah lebih jauh dalam dunia seni apabila bergelar pelakon.

Bakal tampil drama rantaian pertama berjudul The Hotel, MK berkata dia teruja memperlihatkan bakat lakonannya.

“Saya dapat belajar perkara baharu. Jujurnya, banyak ilmu dan pengalaman diperoleh sepanjang penggambaran drama.

“Saya berterima kasih kepada penerbit, Micheal Ang memberikan saya peluang ini, selain rakan pelakon yang membantu saya menjayakan drama ini.

“Mungkin saya boleh membawa pengalaman ini untuk menjayakan lakonan lain,” katanya kepada media. Penyanyi lagu Pulang itu ditemui menerusi sidang media drama The Hotel secara virtual, petang semalam.

MK menerima banyak ilmu dan pengalaman diperoleh sepanjang penggambaran drama The Hotel. – Agensi

Melakonkan watak Sean menerusi drama arahan Helmi Yusoh itu, MK atau nama sebenarnya, atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan berkongsi, heroin gandingan, Mira Filzah banyak membantunya.

“Sebelum menjayakan drama ini, saya ada bertanya pada orang sekeliling dan rakan pelakon. Kemudiannya, saya menerima lebih banyak tunjuk ajar daripada pelakon seperti Mira dan pengarah apabila di lokasi penggambaran.

“Alhamdulillah, ia menjadi tidak terlalu sukar apabila ramai membantu saya,” katanya.

Malah, Mira sendiri menyatakan pandangan, MK seorang pemalu pada awal, namun lama kelamaan berjaya mencari keselesaan dan menerima nasihat serta pandangan.

Mengakui perkara itu, MK bersyukur bergandingan dengan Mira yang amat memahaminya.

“Saya tidak nafikan, saya pemalu. Disebabkan itu, saya gembira menerima bantuan rakan pelakon. Ini adalah kemunculan pertama saya, jadi saya agak malu pada permulaannya, tetapi bekerja dengan Mira membuatkan saya rasa lebih selesa,” katanya.

Mengulas sudahkah bersedia menerima komen warganet, MK akui, dia tidak terlalu memikirkan soal itu.

“Saya seorang yang tidak gemar mengambil tahu apa yang diperkatakan warganet.

“Jadi, apa yang boleh dikatakan, saya teruja membintangi drama ini. Saya pun belum pernah nampak ada drama memaparkan jalan cerita seperti ini.

“Oleh itu, saya percaya warganet akan terkejut dan terhibur dengan drama ini,” katanya.

Selain MK dan Mira, drama yang bakal ditayangkan menerusi di Astro Ria pada pada 15 September ini turut dibintangi oleh Sean Lee, Natasha Elyzza, Yasmin Hani, Datin Paduka Eina Azman, Daler Yusuf, Nabil Aqil dan ramai lagi. – Agensi