LONDON, 25 Dis – Pemain tengah Arsenal, Henrikh Mkhitaryan terpaksa direhatkan sekurang-kurangnya selama enam minggu berikutan kecederaan yang dialami pada bahagian kaki, menurut kenyataan kelab Liga Perdana Inggeris itu di laman sesawangnya, hari ini.
Tulang metatarsus Mkhitaryan mengalami parah pada kaki kanannya dalam perlawanan Piala Carabao, yang tewas di tangan Tottenham dan digantikan pada separuh masa. Dia turut terlepas kemenangan menentang Burnley pada hujung minggu lalu.
Arsenal berkata pengatur serangan berasal Armenia itu “dijangka kembali kepada latihan sepenuhnya dalam tempoh enam minggu.”
Di bawah kendalian Unai Emery, Mkhitaryan menjadi seorang pemain biasa yang diturunkan oleh pengendali berasal Sepanyol itu dan telah menjaringkan empat gol dalam saingan Liga Perdana musim ini.
Pemain berusia 29 tahun itu akan terlepas perlawanan liga utama menentang Liverpool, Chelsea dan Manchester City tatkala Arsenal meneruskan pemburuan mereka bagi empat tangga teratas.
Mkhitaryan tiba di Stadium Emirates hampir setahun yang lalu sebagai sebahagian perjanjian pertukaran pemain yang menyaksikan Alexis Sanchez berpindah ke Manchester United. – AFP
































