LEICESTER, 6 Feb – Persembahan kelas dunia Henrikh Mkhitaryan telah menyebabkan Leicester City semakin parah dalam perjuangan mereka untuk kekal di Liga Perdana apabila Manchester United menang selesa 3-0 ke atas juara bertahan yang bergelut itu awal pagi tadi.
Pasukan Jose Mourinho memburukkan lagi situasi Leicester kepada empat kekalahan liga berturut-turut, sebahagian besarnya adalah hasil persembahan dinamik Mkhitaryan di Stadium King Power.
Pemain perancang Armenia itu telah membuka jaringan pembukaan dengan satu larian solo hanya sebelum tamatnya separuh masa pertama dan kemudian bergandingan dengan Juan Mata bagi jaringan ketiga United selepas Zlatan Ibrahimovic menggandakan pendahuluan United.
Kemenangan pertama United dalam empat perlawanan liga itu telah melanjutkan lagi perlawanan tanpa kalah mereka kepada 15, sekali gus melonjakkan mereka menjadi dua mata di belakang pasukan di tangga keempat, Arsenal dalam perlumbaan bagi kelayakan Liga Juara-Juara.
“Saya fikir kami bermain seperti kebiasaannya. Kami telah bermain dengan baik dan cuba mendapatkan kemenangan,” kata Mourinho.
“Kami masih berada di kedudukan yang sama tetapi kami semakin dekat dengan pasukan lain jadi kami perlu terus berjuang.”
Hanya sembilan bulan selepas kejayaan dongeng mereka musim lepas, Leicester kini terjerumus dalam pertarungan bagi mengelakkan penyingkiran selepas hanya menang sekali daripada sembilan perlawanan liga.
Pasukan Claudio Ranieri kini menjadi bayangan daripada pasukan musim lepas yang telah membelasah lawan mereka dan kini tahun 2017 mereka belum menjaringkan sebarang gol liga.
Mereka satu mata di atas zon penyingkiran dan berdepan pertembungan penting dengan pasukan yang juga bergelut, Swansea hujung minggu ini.
“Pada musim lepas semuanya dalam keadaan lancar dan para pemain mempunyai keyakinan tinggi, kini mereka dalam keadaan cemas. Kami perlu terus bersatu dan terus berjuang,” kata Ranieri. – AFP