MKKJR adakan solat Hajat

Oleh Yusrin Junaidi, Normazlina M.D & Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Dis – Untuk memohon ke hadrat Allah SWT supaya negara ini, terutamanya para pengguna jalan raya, sentiasa diberikan perlindungan dari kemalangan dan perkara-perkara yang tidak diingini, Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Sembahyang Fardu Asar Berjemaah dan Membaca Ratib Al-Attas sempena Minggu Keselamatan Jalan Raya 2018 telah diadakan di keempat-empat daerah, hari ini.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang dihadiri oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong selaku Pemangku Menteri Perhubungan; Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad selaku timbalan pengerusi II Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dan Timbalan Setiausaha Tetap, Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi selaku setiausaha MKKJR.

Majlis juga turut dihadiri oleh duta-duta dan ahli MKKJR, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan serta pihak berkuasa di bawahnya.

Di Daerah Belait, majlis berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait dan turut dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin yang juga penghulu Mukim Liang.

Sementara itu, bagi Daerah Tutong, majlis yang berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dihadiri oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menghadiri majlis yang berlangsung di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas.

Manakala bagi majlis di Daerah Temburong yang diadakan di Masjid Utama Mohamamad Salleh, Pekan Bangar telah dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu yang juga selaku penghulu Mukim Bokok dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohammad Khairol Shahrul bin Haji Duahim.

Majlis berkenaan merupakan kesinambungan aktiviti Minggu Keselamatan Jalan Raya 2018 yang telah berkenan dilancarkan pada 1 Disember lalu oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Penaung Diraja MKKJR.

Majlis juga merupakan usaha berterusan MKKJR untuk memohon berkat dalam segala usaha dan perancangannya dalam meningkatkan keselamatan jalan raya demi kebajikan dan keselamatan semua.

Dalam kesempatan ini, MKKJR menyeru semua pengguna jalan raya untuk memulakan setiap perjalanan dengan doa di samping meningkatkan kewaspadaan ketika berada di jalan raya dengan sentiasa mengamalkan sikap pemanduan yang berhati-hati, berdisiplin dan bertimbang rasa, serta memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika memandu di jalan raya, sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas jalan raya demi menjaga keselamatan bersama dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.