Thursday, April 18, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    MKKJR memperingati mangsa lalu lintas jalan raya

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam (MKKJR) hari ini menyambut Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia Bagi Tahun 2022 dengan majlis sambutan yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.

    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Penaung Diraja MKKJR telah berkenan berangkat ke majlis tersebut.

    Keberangkatan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku Pengerusi MKKJR; Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Awang Mohamed Riza bin Dato Paduka Haji Mohamed Yunos, selaku Timbalan Pengerusi MKKJR; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Muhammad Irwan bin Haji Hambali, selaku ahli MKKJR; Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, selaku ahli MKKJR; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, selaku Setiausaha MKKJR.

    Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia merupakan inisiatif antarabangsa yang disambut pada setiap Ahad pada minggu ketiga November dengan tujuan untuk memperingati mangsa-mangsa lalu lintas jalan raya serta keluarga mereka yang turut terkesan akibat kemalangan jalan raya.

    Sambutan pada tahun ini bertemakan Justice, oleh itu, Negara Brunei Darussalam mengetengahkan tema berkenaan kepada aspek kepatuhan kepada undang-undang atau peraturan serta menghormati hak setiap individu untuk menikmati jalan raya yang selamat sebagai kemudahan awam, yakni kesaksamaan yang juga selaras dengan prinsip Maqasid Syariah.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan mengurniakan hadiah kepada Dayang Fatin Noor Hasibah.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan mengurniakan hadiah kepada Dayang Nur Alyaa Hafeezah.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin
    oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Metassan bin Haji Tahir diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi yang antara lain menyembahkan mengenai inisiatif-inisiatif dan status program-program yang sedang dan telah dilaksanakan.

    Kemudian, Yang Teramat Mulia berkenaan mengurniakan sabda khas dan melancarkan Buku Edisi Kedua The Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam dan buku bacaan bersiri ‘Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam: Adab dan Keselamatan Kitani di Jalan Raya’.

    Yang Teramat Mulia juga berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah-hadiah kepada penuntut-penuntut yang menyertai Pertandingan Kuiz Keselamatan Jalan Raya bagi Peringkat Sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara Tahun 2022 dan Pertandingan Mencipta Klip Video Keselamatan Jalan Raya Bagi Peringkat Sekolah Menengah, Maktab-Maktab dan Pusat Tingkatan Enam Tahun 2022.

    Seramai 161 orang pelajar telah menyertai pertandingan kuiz berkenaan dengan johan disandang oleh Dayang Nur Alyaa Hafeezah binti Rizal dari Ma’had Islam Brunei. Manakala itu, sebanyak 17 klip video diterima bagi pertandingan mencipta klip video dan telah dimenangi oleh Dayang Fatin Noor Hasibah binti Noor Aflan dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

    Kedua-dua projek tersebut dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan juga sebagai inisiatif di bawah KTUP.

    Yang Teramat Mulia kemudian berkenan menyaksikan pameran keselamatan jalan raya oleh MKKJR, Brunei Bridge Authority (BBA), Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Yang Teramat Mulia berkenaan menandatangani lembaran keberangkatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    29 pemberontak ditembak polis

    NEW DELHI, 17 APRIL - Polis di India menembak sekurang-kurangnya 29 pemberontak Maois di Chhattisgarh kelmarin, menurut pihak berkuasa, tiga hari sebelum permulaan pilihan...