MKKJR panjat doa lindungi pengguna j’raya

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), hari ini, telah mengadakan Majlis Solat Sunat Hajat, Solat Fardu Asar Berjemaah dan Membaca Ratib Al-Attas bagi memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT supaya Negara Brunei Darussalam sentiasa diberikan perlindungan agar terhindar daripada bala dan segala penyakit khasnya wabak COVID-19.

Majlis yang berlangsung di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) itu juga khusus untuk memohon keselamatan bagi semua pengguna jalan raya agar terpelihara daripada sebarang kemalangan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, hari ini, acara itu juga merupakan salah satu usaha berterusan MKKJR untuk memohon berkat dalam segala usaha dan perancangannya ke arah meningkatkan keselamatan jalan raya demi kesejahteraan semua.

Hadir pada majlis berkenaan ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ahli-ahli MKKJR serta ketua urus setia MKKJR, ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan di bawahnya serta pihak-pihak berkuasa yang berkenaan.

Pada majlis itu, solat sunat Hajat, solat fardu Asar berjemaah dan bacaan Ratib Al-Attas telah dipimpin oleh Imam Surau LTAB, Pengiran Haji Mohd Ismail bin Pengiran Haji Tuah.

Dalam kesempatan itu juga, MKKJR terus menyeru semua pengguna jalan raya meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika memandu serta mengamalkan sikap pemanduan yang berhemah.

Mereka juga diseru mementingkan keselamatan dan mengamalkan penggunaan tali pinggang keledar, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan untuk sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan serta tanda-tanda isyarat lalu lintas yang dipamerkan demi menjaga keselamatan bersama dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Antara yang hadir Majlis Solat Sunat Hajat, Solat Fardu Asar Berjemaah dan Membaca Ratib Al-Attas yang berlangsung di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), kelmarin. – Gambar serahan MTIC