MKKJR peringati mangsa lalu lintas

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Para pengguna jalan raya diseru supaya sentiasa berwaspada dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika berada di jalan raya serta mengamalkan sikap memandu yang berhemah terutama ketika cuaca hujan kerana hadiah terbaik adalah sampai ke destinasi dan pangkuan keluarga dengan selamat.

Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) Negara Brunei Darussalam ketika mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Ratib Al-Attas sempena Memperingati Mangsa Kemalangan Lalu Lintas Jalan Raya 2018 di Masjid Kampung Sungai Hanching, turut mengingatkan kepada pemandu agar sentisa berhemah, mementingkan keselamatan dan mengamalkan sikap terbaik semasa memandu.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, selaku Pengerusi MKKJR Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad selaku Timbalan Pengerusi Il MKKJR dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Awang Mohammad Nazri bin Mohammad Yusof.

Majlis juga turut dihadiri oleh para pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta ahli MKKJR, di mana mereka memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala supaya negara ini terutamanya pengguna jalan raya sentiasa diberikan perlindungan daripada kemalangan dan perkara yang tidak diingini.

Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib ketika menghadiri Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Ratib Al-Attas di Masjid Kampung Sungai Hanching, kelmarin.

Di samping itu juga, acara ini merupakan usaha berterusan MKKJR untuk memohon berkat dalam segala usaha dan perancangan bagi mempertingkatkan keselamatan jalan raya demi kebaikan bersama.

Selain mengamalkan pembacaan doa sebelum meneruskan perjalanan, para pemandu juga diseru untuk sentiasa memakai tali pinggang keledar, mematuhi had laju dan tanda-tanda isyarat lalu lintas yang dipamerkan.

Para pemandu juga diingatkan supaya jangan berkhayal atau berangan-angan semasa memandu dan jangan memandu jika dalam keadaan tertekan, keletihan dan mengantuk. Selain itu, para pemandu juga dinasihatkan agar tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memandu mengikut jarak yang selamat, sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas demi menjaga keselamatan bersama dan mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.