MKM agihkan sumbangan kepada 100 keluarga

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara dan turut menjejaskan khususnya golongan yang kurang berkemampuan, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) melalui Projek Sejambak Kasih MKM telah menghulurkan sumbangan berupa makanan asasi kepada 100 ketua keluarga yang merupakan ahli MKM.

Pada tahun ini MKM juga mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengawal penularan wabak berkenaan yang mana pengagihan bantuan dilaksanakan dengan konsep penjarakan fizikal sepertimana yang telah disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Rombongan penyerahan sumbangan itu diketuai oleh Yang Di-Pertua MKM, Awang Mohd Yusof Halim dan melibatkan ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir MKM dan ahli-ahli MKM.

Buat julung-julung kalinya, MKM membuat pengagihan makanan asasi di keempat-empat daerah dan penyerahan bantuan bermula pada pukul 9 pagi di Pejabat MKM di Kampung Sungai Hanching.

Setiap ketua keluarga menerima sumbangan makanan asasi bernilai $165 keseluruhannya yang mengandungi beras, gula, minyak makan serta pelbagai makanan tin, minuman dan lain-lain.

Perbelanjaan Projek Sejambak Kasih berkenaan merupakan sumbangan daripada orang ramai termasuk $5,000 daripada Imagine Sdn Bhd.

Projek amal berkenaan dihasratkan dapat meringankan beban dan menceriakan klien MKM di samping merupakan salah satu projek MKM sempena bulan suci Ramadan yang bertujuan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan sebagai persiapan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

MKM merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada Disember 2009 dengan objektif untuk membantu menangani isu-isu sosial di negara ini, iaitu ke arah meningkatkan kebajikan bagi golongan yang kurang berkemampuan.

Awang Mohd Yusof Halim ketika menyerahkan sumbangan kepada wakil ahli MKM untuk diagihkan kepada penerima.
Sumbangan untuk diserahkan kepada penerima.