MKM ceriakan kanak-kanak terpilih

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Seramai 40 orang kanak-kanak daripada golongan yang kurang berkemampuan telah dipilih untuk menyertai acara ‘Day of Joy’ anjuran Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) yang diadakan sebahagian daripada ‘Day of Action’ anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2019.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, acara yang dikendalikan oleh ‘Youth Wing’ di bawah naungan MKM itu bertujuan untuk memberi ganjaran kepada pelajar-pelajar cemerlang daripada Program Amal Sarapan Pagi Sekolah anjuran MKM dan anak-anak klien MKM dengan mengadakan aktiviti bersuka ria di Taman Air, Taman Permainan Jerudong, kelmarin.

Pengerusi acara, Hajah Hamizah binti Dato Paduka Haji Mohd Nor dipetik melahirkan harapan supaya acara itu dapat memberikan keceriaan kepada kanak-kanak dan keluarga mereka.

Sebagai tambahan, kanak-kanak berkenaan juga diberikan hadiah-hadiah ‘wishlist’ mereka sumbangan MKM bagi menyuntik semangat mereka untuk terus berusaha dalam pembelajaran.

Selari dengan tema ‘Day of Action’ iaitu menggalakkan kesukarelawanan, 20 orang pelajar dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah melibatkan diri untuk menjadi sukarelawan bagi acara berkenaan.

Acara MKM itu juga telah menerima tajaan daripada Makan Ceria Sdn Bhd, Taurean Bakeshop & Cafe, Ben Foods Sdn Bhd dan IBIC Sdn Bhd.

Kanak-kanak menerima hadiah-hadiah mereka di majlis berkenaan. – Gambar oleh MKM