MKM lancar kempen pengumpulan dana

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Dengan kedatangan bulan Ramadan yang bakal menjelang, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah melancarkan kempen media sosial bagi mengumpul dana untuk menyediakan makanan berbuka puasa bagi golongan yang memerlukan di negara ini.

“MKM sejak didaftarkan pada 2009 telah menyediakan makanan secara berterusan bagi golongan yang memerlukan di negara ini, di mana pada tahun ini, MKM akan memberikan makanan Iftar kepada 650 orang yang memerlukan untuk tempoh sekurang-kurangnya 14 hari pertama bulan Ramadan,” kata Ketua MKM Youth Wing, Abang Haji Masrur bin Abang Haji Zainuddin yang bertanggungjawab dalam pengagihan makanan Iftar.

MKM akan melaksanakan langkah-langkah penjarakan sosial dalam mengumpul dan mengagihkan makanan kepada penerima dan para belia yang membantu MKM dalam aktiviti amal berkenaan akan diberi penerangan selain menyediakan mereka dengan pelindung hidung dan mulut, dan cecair pembasmi kuman.

Bukan sahaja di negara ini tetapi projek dana itu juga dimanfaatkan untuk para pelajar sekolah bagi pelarian Rohingya di Unchiprang, Bangladesh.

Presiden MKM, Awang Yusof Halim berkata, pihaknya telah menjalankan sekolah untuk pelarian Rohingya di kem pelarian Unchiprang, Bangladesh sejak 2018 yang dinamakan MKM-Gifting Humanity School & Orphanage dan kini mempunyai kira-kira 500 orang pelajar dan 100 daripadanya mengikuti program tahfiz.

Sekolah itu telah melahirkan lima Hufaz Quran, yang semuanya berusia 12 tahun.

MKM akan menyediakan Iftar bagi pelajar dan warga sekolah sepanjang bulan Ramadan dan turut menyediakan makanan sahur atau sarapan pagi untuk 100 orang anak yatim yang ditempatkan di kawasan sekolah.

Awang Yusof bersama-sama sebahagian daripada pelajar MKM-Gifting Humanity School & Orphanage.