Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) dengan kerjasama Yusof Halim & Partners, petang tadi, meneruskan lagi Bicara Undang-undang kali ke-5 dengan siri dialog bertajuk ‘Poligami: Antara Izin dan Hak Pihak-pihak’ yang berlangsung di Bilik Kuliah; Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Siri dialog kali ini mengetengahkan penceramah undangan Awang Mohammad Shahray bin Zulkifli, yang menyentuh mengenai poligami dalam masyarakat lain.
Katanya, di Afrika, amalan poligami memang diamalkan secara turun-temurun dan ia menjadi budaya terutamanya dalam kalangan pemimpin suku kaum kerana bilangan isteri yang ramai dan anak ramai menunjukkan status kekayaan sebenar seorang lelaki Afrika.
Menurutnya lagi, Islam membolehkan poligami tapi mempunyai syarat-syarat yang perlu dipatuhi agar perkahwinan tersebut tidak mendatangkan kemudaratan kepada isteri dan anak-anak yang sedia ada dan dihadkan kepada empat orang sahaja.
Beliau turut menyentuh mengenai poligami dalam peruntukkan akta undang-undang keluarga Islam di Brunei yang mana di bawah akta tersebut, tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seorang perempuan lain di mana-mana tempat juga dalam masa ia masih beristerikan yang sedia ada, kecuali terlebih dahulu mendapatkan kebenaran dalam borang yang ditetapkan daripada Hukum Syari’e.


Awang Mohammad Shahray turut menjelaskan mengenai poligami tanpa kebenaran mahkamah, rasional dibenarkan berpoligami serta hak suami untuk berpoligami.
Menurutnya, suami mempunyai hak apabila isteri sedia ada mandul, berpenyakit, gila dan tidak mampu memenuhi kehendak seksual suami, suami mampu menanggung isteri yang sedia ada dan bakal isteri, suami mampu memberi layanan sama rata kepada semua isterinya dan banyak lagi.
Secara kesimpulannya poligami adalah hak lelaki yang dibolehkan dalam undang-undang dan hukum syarak, yang mana dalam memberikan kebenaran untuk berpoligami, pihak mahkamah akan melihat kepada keadilan dan kemampuan suami memberi nafkah kepada isteri atau isteri-isteri dan bakal isteri serta keizinan isteri adalah tidak diperlukan kerana keputusan adalah di tangan hakim.
Siri bicara tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai terhadap undang-undang.