MKMA63 kembalikan pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan

KOTA KINABALU, 14 APRIL – Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bersetuju menyerahkan pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan kepada kerajaan negeri Sabah manakala Sarawak diberikan kawalan sepenuhnya terhadap pengurusan agihan gas bagi negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat MKMA63 semalam yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama dalam mesyuarat secara maya itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Bagaimanapun, kawalan keselamatan terhadap kedua-dua pulau itu masih di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Perdana Menteri berkata Sabah mempunyai hak kedaulatan ke atas kedua-dua pulau itu, yang diletakkan di bawah pengawasan Taman-Taman Sabah dan perlindungan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959,” katanya.

Ongkili berkata penyerahan sepenuhnya akan diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata penyerahan kawalan dan pengurusan agihan gas di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016 akan berkuat kuasa 1 Jun ini.

Ongkili, yang mengetuai Sekretariat MKMA63, berkata kedua-dua isu berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh empat bulan sejak MKMA63 mengadakan mengadakan mesyuarat pertamanya pada Disember tahun lalu.

Katanya, di bawah Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dua laporan telah dibentangkan.

“Satu mengenai cadangan pindaan Perlembagaan di bawah Perkara 1 (2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, yang membincangkan definisi persekutuan. Pasukan perundangan diketuai Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bersama-sama Peguam Negara Sabah dan Sarawak.

“Laporan kedua pula berkaitan isu kehakiman di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. Satu jawatankuasa telah dibentuk untuk bersidang bersama-sama peguam besar Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang mengetuai Jawatankuasa Kerja Keselamatan, turut membentangkan laporannya menyentuh mengenai pendatang asing tanpa izin, masyarakat Palau dan isu pendaftaran nasional mengenai undang-undang yang dilanggar di Sabah dan Sarawak. – Bernama