MLM: Jangan terlibat dengan Fingo

KUCHING, 11 OGOS — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menasihatkan orang ramai untuk tidak terlibat dalam perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dengan Fingo (M) Sdn Bhd dan memasarkan produk mereka di platform dalam talian e-dagang syarikat itu.

Timbalan Menteri Chong Chieng Jen berkata ini berikutan kementerian tidak mengeluarkan sebarang lesen jualan langsung kepada syarikat itu untuk menjalankan perniagaan MLM dan memasarkan produk di platform dalam talian e-dagangnya.

“Kementerian hanya mengeluarkan lesen jualan langsung kepada Fingo untuk memasarkan lima produk mereka seperti yang disenaraikan di bawah melalui kaedah tradisional dan konvensional (melalui ejen atau secara bersemuka), dan bukan melalui aplikasi dalam talian atau e-dagang,” katanya pada sidang media di sin, kelmarin.

Lima produk itu ialah An-Nur Agar Shampoo, Sucian Dara, Sniper, 9030 Mix Honey with Cordyceps dan Lunia Bird Nest Ess Facial Mask.

Syarikat itu telah melancarkan Fingo, platform e-dagangnya, di Malaysia pada bulan lepas.

Chong berkata kementerian telah mendapat aduan daripada orang ramai bahawa mereka akan menerima wang jika mereka mengambil ahli baharu untuk syarikat itu dan juga boleh mendapat komisen apabila ahli-ahli membeli produk syarikat.

“Nasihat kementerian jika mana-mana skim MLM atau skim jualan langsung menjanjikan pulangan yang tinggi atas kerja yang minimum atau pulangan tinggi atas pengambilan ahli semata-mata, itu mungkin penipuan wang atau skim piramid yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya. – Bernama